Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bukan bertujuan untuk melaksanakan hukum hudud d negara ini, dan tidak ia akan memberi kesan kepada bukan Islam, kata PAS hari ini.

"Hentikan percaya dakwaan bahawa Akta 355 akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Malaysia.

"Sekurang-kurangnya tiga artikel dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk melaksanakan hudud, ini pasti sukar," kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat hari ini.

Hadi akhirnya membentangkan usul rang undang-undang ahli persendirian itu yang bertujuan untuk meminda Akta 355.

Pindaan itu antara lain bertujuan untuk menggantikan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali dengan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan kali pertama pada 26 Mei dan kemudiannya pada 24 November tahun lalu tetapi penerangan lanjut mengenai usul tersebut dibawa pada sesi kali ini.

Hadi berkata pindaan itu tidak memberi kesan kepada bukat Islam kerana hanya umat Islam yang boleh dibicarakan di bawah Akta 355.

Bukan hantu

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Bahru) mengulangi kata-kata itu dalam menyokong usul Hadi.

Menurutnya, usul itu bukannya hantu yang perlu ditakuti sehingga perlu diugut untuk disaman.

"Kalau kita tidak tahu apa-apa itu 355, tapi kita takut kepada 355 sampai macam-macam ugutan saman dan sebagainya saya kira seolah-olah kita takut hantulah.

"Kita takut tapi kita tidak tahu apa itu hantu dan bagaimana rupanya," katanya

Takiyuddin juga menasihatkan golongan bukan Islam supaya tidak takut, kerana ia tidak ada kena mengena dengan mereka.

Beliau berkata malah dalam enakmen hudud Kelantan, dinyatakan dengan jelas bahawa undang-undang tidak terpakai kepada bukan Islam.

“Kesalahan kecil, takkan la dia ambil RM100,000, kesalahan besar dia (hakim) letak (hukuman denda) RM100,000.

“Begitu juga dengan rotan, sebatan cara syariah.

“Bunyi 100 (seperti banyak), tetapi 100 rotan (di bawah undang-undang syariah) adalah lebih ringan daripada satu sebatan sivil,” katanya.

Hadi semasa membentangkan usulnya itu juga menekankan hukuman di bawah undang-undang Islam itu bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menyeksa.

Bukan automatik

“Sebatan dalam Islam bukan sebatan sivil, mesti dengan alat sebat yang sederhana, yang tak berat dan tidak ringan,

“(Tangan) tak boleh angkat lebih tinggi dari kepala, tak boleh (hingga) menyiat kulit, tak boleh cederakan, untuk malukan bukan cederakan.

“Kalau orang kurus kalau sebat kena tulang, Rasulullah suruh guna seratus batang ranting dan sebat sekali sahaja,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata walaupun pindaan kepada Akta 355 diluluskan, pelaksanaan had hukuman baru itu terletak di tangan kerajaan negeri masing-masing.

“Dia (RUU355) bukan automotik, dia optional.

“Kalau Pulau Pinang tak nak mengambil itu, tak mengapa, kalau Sarawak tak nak pakai tak apa
ia adalah optional, bukan wajib,” katanya.

Jika pindaan Akta 355 itu diluluskan, negeri-negeri perlu meminda undang-undang masing-masing sama ada mereka mahu meningkatkan had hukuman jenayah syariah itu.

Usul Hadi kini masih belum menjadi rang undang-undang.

Ia perlu lulus undian di Dewan Rakyat sebelum boleh dibawa sebagai rang undang-undang untuk bacaan kali pertama.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, petang tadi, menunda perbahasan usul itu ke sesi sidang parlimen akan datang.

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 24 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS