Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengenai Akta 355 bukan bermakna kerajaan tidak menyokong pindaan berkenaan.
"Ramai yang keliru bahkan sewenangnya membuat andaian dan kesimpulan seolah-olah RUU 355 ditolak kerajaan apabila perdana menteri mengumumkan kerajaan tidak membentangkan RUU 355, sebaliknya kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang dibawa PAS.
"Sebelum terus berpolemik dan menanggung dosa kering memfitnah, moleklah bertabayyun dan memahami beberapa fakta," katanya dalam kenyataan.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dewan tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.
"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.
"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam tadi.
Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.
Jelas Asyraf Wajdi, antara fakta yang perlu difahami ialah usul persendirian RUU 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua rang undang-undang kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.
Usul Persendirian RUU 355 itu, jika dibentangkan kelak, akan bermakna versi RUU355 yang dicadangkan PAS akan terbuka kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat kelak, katanya.
"Apabila dibahaskan, terserah kepada proses demokrasi berparlimen untuk membincangkan secara tuntas pro dan kontra setiap aspek dalam pindaan yang dicadangkan.
"Jika ditakdirkan RUU355 ini diterima kelak selepas dibahaskan dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan dibawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata Kerajaan.
"Apabila sudah menjadi penyata kerajaan, maka prosesnya ialah kerajaan meneliti kembali aspek-aspek di dalam cadangan awal pindaan yang dibuat PAS sama ada untuk meminda bagi tujuan menambah baik atau kekal sebagaimana versi asal," jelas beliau.
Sebagai kerajaan yang bertanggung jawab kepada seluruh rakyat yang berbilang agama, katanya, adalah menjadi keperluan untuk mengambil kira semua faktor termasuk aspek yang menjadi polemik dan kekeliruan di kalangan rakyat.
"Justeru, tidak timbul kerajaan menolak Akta 355 ini kerana akta ini adalah milik kerajaan. Cuma yang membezakan adalah dicadangkan untuk dipinda oleh PAS sebagai usul persendirian.
"Persoalan yang lebih mendasar apakah parti-parti di dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya AMANAH, BERSATU dan PKR bersedia menyokong RUU 355 ini jika PAS membentangkannya kelak di Parlimen," tanya beliau.