Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wanita' itu dangkal mindanya, bidas mufti Perlis
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 12:41 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Mufti Perlis hari ini meneruskan kritikannya terhadap seorang bomoh sambil turut menempelak seorang wanita yang disifatkan sebagai mempunyai keupayaan akal yang dangkal.

Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang pernah menyasarkan kritikan kepada 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin sebelum ini tidak menyebut nama mana-mana individu dalam catatan beliau di Facebooknya.

Bagaimanapun, kritikan Asri itu dibuat ketika meledaknya isu peguam yang juga aktivis, Siti Kassim dalam beberapa portal dan blog yang menyiarkan kenyataan beliau mengenai ketuhanan dan agama.

"Dukacita apabila media mengutip berita 'bomoh' yang penuh khurafat dan memalukan masyarakat bertamadun, dan seorang wanita dangkal minda yang entah apa latarnya.

"Seorang membuat 'kerja' yang melambang masalah akal yang serius. Seorang pula membuat kenyataan tentang agama, tuhan dan pelbagai lagi yang juga melambangkan kedangkalan pengetahuan dan ketandusan kepercayaan terhadap konsep ketuhanan," kata beliau.

Sebelum ini, Asri mengkritik keras aksi terbaru Ibrahim yang 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, hususnya Korea Utara dengan menyifatkannya sebagai khurafat dan memalukan akal.

“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya.

Di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, Ibrahim mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai dengan beliau dan pengikutnya menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu.

Siti Kassim pula dipetik beberapa media sebagai berkata, tuhan dihasilkan menerusi getaran selain membantah secara konsisten pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Mengulas lanjut, Asri yang popular dengan gelaran Dr Maza menambah, kedua-dua individu tersebut telah menarik perhatian pihak media di negara ini dan membuang masa pembaca.

"Kedua-duanya telah dijadikan bahan berita yang menghabiskan masa masyarakat mengetahui dan membacanya," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS