Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Zaman sebelum laluan kereta api antara Tapah Road – Teluk Intan (dulu Teluk Anson) ditutup, itulah antara jalan orang kampung Sungai Manik ke pekan Teluk Intan.

Bagi penduduk yang berhampiran dengan stesen kecil kereta api, mereka lebih gemar menghantar anak-anak bersekolah di Teluk Intan. Jika tidak, mereka terpaksa membiarkan anak-anak mereka berbasikal jauh untuk sampai ke sekolah menengah yang terletak di Chenderong Balai.

Tambang kereta api pada masa itu sangat murah. Ada lebih kurang 10 stesen kecil antara Tapah Road hingga ke Pelabuhan Teluk Intan ataupun dikenali sebagai warf.

Sekarang ia sudah menjadi sejarah yang tertanam. Tiada siapa yang hendak hiraukan kisah landasan kereta api yang berusia lebih 100 tahun itu.

Sudahlah relnya diangkut dijadikan besi buruk hingga tiada lagi yang tinggal, bangunan stesen juga sudah runtuh. Yang tinggal hanya stesen Teluk Intan yang dijadikan sekolah memandu dan jambatan besi yang merintangi Sungai Bidor. Ia kekal dan digunakan oleh penunggang motosikal.

Ramai orang tidak tahu tentang sejarah seekor gajah merempuh kereta api yang sedang meluncur di landasan itu dan mengakibatkan tiga gerabak tergelincir.

Kejadian itu berlaku kira-kira 100 tahun lalu. Papan tanda yang dibina oleh British masih tegak kukuh berdiri di tempat asalnya. Pada papan tanda itu tertulis: THERE IS BURIES HERE WILD ELEPHANT WHO IN DEFENSE OF HIS HERD CHARGED AND DERAILED ON THE 17 th DAY OF SEPT. 1894.

Jasad tertanam di situ

Papan tanda putih diperbuat daripada simen tersebut tersorok di celah-celah pokok pisang, ubi kayu, kelapa sawit dan beberapa tanaman penduduk tempatan. Tulisannya dicat hitam dan terdapat beberapa huruf tertanggal tidak berganti.

Setelah perkhidmatan kereta api dari Tapah Road ke Teluk Intan ditamatkan kira-kira pada 1988, rel dan kayu-kayu pada landasannya dicuri dan tanah milik syarikat Keretapi Tanah Melayu itu digunakan penduduk tempatan sebagai tempat bercucuk tanam.

Berdasarkan kenyataan pada papan tanda itu menunjukkan, jasad gajah tersebut ditanam di situ, iaitu tempat kejadian berlaku.

Menariknya kenyataan pada papan tanda itu memberi penghargaan kepada gajah tersebut kerana bertindak mempertahankan sekawan gajah lain daripada dirempuh kereta api.

Kenyataan itu jelas memberi pengiktirafan gajah tersebut sebagai bertanggungjawab dan sanggup mengorbankan dirinya demi kedudukannya sebagai ketua dalam sekawanan gajah.

Sememangnya sifat gajah bergerak secara berkumpulan dan diketuai oleh gajah paling tua. Gajah tua biasanya dapat dilihat dari segi fizikalnya yang lebih besar berbanding gajah-gajah lain.

Gajah yang berperanan sebagai ketua akan berfungsi memastikan keselamatan anak-anak buahnya dan menunjukkan tempat untuk mereka mereka mencari makanan.

Biasanya, gajah akan menggunakan laluan yang sama kerana haiwan itu mempunyai deria bau yang kuat. Sebuah hasil kajian diterbitkan dalam jurnal sains Genome Research menyatakan penyelidik meneliti tahap deria baru 13 mamalia, termasuk kuda, arnab, tikus Belanda, lembu, dan cimpanzi.

Mereka mendapati gajah Afrika mempunyai bilangan gen yang lebih besar. Belalai yang panjang berfungsi sebagai alat deria bau. Seekor gajah memiliki bulu mata yang panjang dan kelopak mata dengan banyak lipatan. Hal inilah yang mengganggu penglihatannya.

Gajah tidak mampu "menoleh" terlalu banyak, kerana itulah "pandangan" mereka terhadap alam sekitarnya sangat terbatas.

Lokasi pertembungan antara gajah dengan kereta api itu terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Teluk Intan dan bersebelahan Taman Melor yang berada dalam mukim Durian Sebatang.

Tidak jauh dari tapak tersebut ada sebuah saliran yang masih berfungsi. Saliran itu membawa air ke bendang di kawasan pedalaman.

Secara tradisinya, tempat tersebut terletak di Kampung Sungai Kerawai dan kira-kira satu kilometer dari bekas stesen kereta api Sungai Kerawai, tetapi kini kawasan tersebut lebih dikenali sebagai Kampung Bahagia. Ia juga terletak tidak jauh dari jambatan besi yang merintangi Sungai Bidor.

Kereta api tiga gerabak itu membawa seorang tauke Cina dan saudagar Inggeris dalam rangka lawatan mereka ke kawasan perlombongan.

Dua pekerja warga India yang bertugas dengan syarikat kereta api itu terbunuh dalam kejadian tersebut. Gajah berkenaan dipercayai jenis gajah Asia ataupun dikenali sebagai elephas maximus yang jauh lebih kecil daripada gajah Afrika.

Bukan balas dendam

Gajah Asia ditemukan di hutan-hutan tropika India dan China, dan di sebagian besar negara Asia Tenggara. Gajah Asia dijinakkan selama ratusan tahun sebagai haiwan peliharan untuk membantu manusia melakukan berbagai aktiviti.

Bahkan, dulu gajah dijinakkan untuk dijadikan sebagai haiwan tunggangan tentera kerajaan untuk berperang.

Gajah jantan itu memang besar, lebih tinggi berbanding gerabak kereta api. Terdapat beberapa versi kisah gajah dilanggar kereta api ini.

Mengikut salah satu cerita lisan, gajah jantan itu mengamuk sebab sebelum kejadian, anaknya mati dirempuh kereta api di kawasan sama. Gajah memang dikenali antara binatang yang memang pantang atau terlalu sensitif melihat lampu pada waktu malam.

Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku pada waktu senja, antara jam 5 hingga 7 petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di kawasan hutan.

Manakala dari versi lain menyatakan, sekumpulan gajah sedang melintas landasan ketika kereta api sedang menuju mereka. Seekor gajah besar yang merupakan ketua kawanan haiwan tersebut menghalang kereta api berkenaan daripada merempuh anak-anak buahnya.

Versi ini menafikan teori bahawa gajah terbabit membalas dendam atas kematian anaknya.

Ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu memang dipandu kencang - antara 60 hingga 80 kilometer sejam - dan dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap.

Akibat rempuhan kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Teriakan terompet gajah sewaktu merempuh kepala kereta api itu tentu sekali memecah keheningan senja itu.

Tentu teriakan itu dapat kedengaran hingga ke pekan Teluk Intan. Teriakan gajah dikatakan boleh menjangkau hingga sejauh 10 kilometer.

Gajah akan mengeluarkan suara bagai gemuruh yang mengegarkan tatkala ia terasa terancam. Ia pasti menggerunkan penumpang kereta api tiga gerabak itu.

Tanggungjawab dalam masyarakat

Kepala gajah akan mendongak-dongak ke atas sambil belalainya diangkat menunjuk langit. Gajah menguak telinga seluas-luasnya dan hentakkan kakinya memberi isyarat pada kawannya bahawa saat untuk ia berkorban sudah tiba.

Kereta api tidak dapat dihentikan. Bunyi siren kereta api tenggelam dengan teriakan terompet perang si gajah. Roda besi keluli itu terus berpusing ligat mengilis rel keluli.

Penumpang di gerabak cemas dan terpinga-pinga. Bebola mata pemandu tepat ke arah si gajah yang mara menuju ke arah kereta api.

Di situlah saat pembuktian harga pemimpin yang berjuang demi kepentingan anak-anak buahnya. Sejarah pengorbanan si gajah hero Sungai Kerawai perlu diabadikan bagi mengingatkan pemimpin dan rakyat tentang tanggungjawab sosial dalam sebuah masyarakat.

Sang Gajah Hero Sungai Kerawai sewajarnya diabadikan sebagai satu teladan dalam sebuah masyarakat yang berhadapan cabaran semasa. Sang Gajah Hero Sungai Kerawai berhadapan dengan pemodenan, penerokaan dan pemunggahan khazanah semasa itu.

Kehidupan bermasyarakat perlu dipertahan dan diperjuangkan dengan memastikan generasi terkemudian terselamat dengan cabaran semasa.

Pemimpin tidak boleh sesekali mementingkan diri sendiri terutama di saat yang getir. Sayangnya, tempat gajah bertarung nyawa demi kedaulatannya kini terbiar sepi.

Kepada siapakah tulisan ini harus kualamatkan?


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS