Ahli exco kerajaan negeri Johor Datuk Abd Latiff Bandi telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk ditahan reman berhubung siasatan mengenai dakwaan skandal tanah.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Nur Sulehan Abd Rahman yang bertindak sebagai majistret kemudiannya membenarkan tahanan reman selama tujuh hari, bermula hari ini.
Abd Latiff, 51, semalam disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudiannya ditahan.
Penahanan beliau dibuat selepas anak dan pegawai khasnya bersama-sama dua individu lain dibebaskan dengan jaminan SPRM pagi semalam selepas direman selama 14 hari.
SPRM juga semalam, menyerbu rumah exco itu dan merampas RM42,000, sebuah Toyota Vellfire dan 150 beg tangan.
ADUN Endau itu diiringi lapan pegawai ke bilik mahkamah pada kira-kira pukul 10.30 pagi.
Abd Latiff berpakaian lokap tetapi beliau tidak digari.
Pemimpin Umno itu disambut oleh lebih sepuluh penyokong semasa dalam perjalanannya ke Mahkamah Majistret. Seorang penyokong memeluknya.
Selepas Abd Latiff masuk ke dalam mahkamah, penyokongnya mula berdoa.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebelum ini, SPRM menahan enam individu atas dakwaan rasuah melibatkan penukaran hak milik tanah bumiputera.
Antaranya, SPRM menahan anak Abd Latif dan pegawai khas exco itu.
SPRM turut merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank yang berkaitan dengan kes itu.
Abdul Latif sejak Rabu lalu mengambil cuti sementara siasatan dijalankan.