Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia dicadang minta bantuan Norway
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 5:55 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Ketegangan Malaysia-Utara hanya boleh diselesaikan dengan tindakan diplomatik berprofil tinggi, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub.

Untuk menyelamatkan 11 rakyat Malaysia di sana, Salahuddin mencadangkan kerajaan melantik Norway sebagai pengantara untuk rundingan dengan Korea Utara.

“Mungkin negara sudah kehilangan menteri luar merangkap diplomat paling dihormati pada zamannya seperti Tan Sri Ghazali Syafie (gambar) dan Adam Malik dari Indonesia yang punya rekod cemerlang dalam dunia diplomatik.

“Namun, mengapa Malaysia tidak cuba untuk meminta pandangan serta pertolongan negara Norway bagi tujuan menjadi negara pengantara yang berkemungkinan besar berupaya menamatkan isu Kuala Lumpur-Pyongyang ini yang telah berlarutan hampir sebulan ini?” katanya.

Sebelas rakyat Malaysia kini terperangkap di Korea Utara selepas negara orientasi perang itu menyekat mereka keluar negara atau pulang ke Malaysia.

Korea Utara tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang presidennya Jong-un di lapangan terbang KLIA2 di Sepang.

Sukar jika KL bersendirian

Dalam kenyataan hari ini, Salahuddin berkata Norway mempunyai prestij, pengalaman serta diperakui memiliki segala kemampuan diplomatik.

Katanya, ini kerana Oslo adalah destinasi keamanan dan perdamaian yang “menjanjikan kemunasabahan kejayaan”.

“Pemilihan Norway sebagai negara pengantara adalah jalan paling selamat kerana tiada kesan politik dan pengaruh serantau yang memungkinkan Kuala Lumpur terjebak dalam persaingan kuasa besar dunia,” katanya.

Beliau berkata agak sukar bagi Kuala Lumpur bertindak sendirian pada ketika ini.

“Kita harus melihat dan memilih secara teliti apakah peluang-peluang yang terbaik di hadapan kita bagi memelihara kepentingan negara, khususnya keselamatan rakyat kita yang masih terperangkap di Korea Utara,” katanya.

Terdahulu, NGO bantuan kemanusiaan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU) mencadangkan China, Rusia atau Iran dilantik sebagai pihak ketiga bagi membantu menyelesaikan ketegangan itu.

'Hanya China harapan negara'

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Lt Kol Prof Ahmad Ghazali Abu Hassan berpendapat, ketika ini hanya China menjadi harapan untuk memastikan keselamatan diplomat negara ini.

“Ketika ini, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana Korea Utara bukanlah sebuah negara yang rasional.

“Mereka tidak akan mendengar nasihat negara lain terutama negara barat.

“Malaysia perlu menggunakan hubungan baik dengan China untuk membebaskan diplomat Malaysia. Ini kerana China dan Korea Utara mempunyai hubungan yang unik,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Menurut Ahmad Ghazali, tindakan menahan rakyat asing yang tidak melakukan sebarang jenayah atau kesalahan seperti yang dilakukan Korea Utara adalah jelas bertentangan undang-undang antarabangsa.

“Konvensyen Geneva Keempat menyatakan penahanan rakyat asing hanya boleh dilakukan ketika waktu perang berlangsung,” beliau dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS