Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siti tuduh Fathul Bari 'cauvinis lelaki' pula
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 1:20 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Peguam Siti Kasim berkata beliau bersedia bertemu dengan Zakir Naik dengan syarat kesemua 19 orang yang mahu mengusir penceramah itu terlibat sama.

Siti juga tidak puas hati dengan pelawaan Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri Datuk Fathul Bari Mat Jahaya untuk mengaturkan pertemuan itu.

Beliau terus mempersoalkan kenapa hanya dua wanita, termasuk peguam Asiah Jalil, dipelawa bertemu Zakir dan kenapa pihaknya tidak diberitahu terlebih dahulu.

“Kenapa dia nak jumpa I saja, dengan Asiah? Sebab kita orang perempuan? Kalau dia nak jumpa semua 19 orang, ya, kita akan bertemu,” kata Siti.

Fathul pada 6 Mac lalu berkata beliau boleh mengaturkan pertemuan Siti dan Zakir yang sudah bersetuju dengan cadangan itu.

Fathul berkata beliau mempelawa Siti dan Asiah kerana mereka berdua beragama Islam. Fathul juga berkata jika terdapat orang Islam lain yang mengheret isu itu ke mahkamah, mereka juga boleh hadir sekali.

Fathul menafikan menjadikan Siti dan Asiah sebagai sasaran kerana jantina mereka.

Siti bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataannya dan mendakwa terdapat agenda “cauvinis lelaki” yang jelas.

Pembulian dan manipulasi

Katanya, seorang lagi individu Muhammad Mujahidin Zulkiffli, turut terlibat dalam saman bagi mendapatkan perintah penangkapan dan pengusiran Zakir itu.

“Mujahidin pun Melayu juga. Mujahidin pun Muslim juga,” katanya lagi.

Siti menegaskan beliau tidak akan menyerah terhadap “pembulian dan manipulasi” itu.

“Saya boleh jumpa dia kalau saya mahu, tetapi kenapa saya mesti menyerah pada pembulian dan manipulasi ini?” soalnya.

Fathul di media sosial berkata akan mengulas isu itu tidak lama lagi.

Dalam saman 1 Mac lalu itu, 19 pemohon memohon mahkamah tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar segera menangkap Zakir.

Antara terlibat dalam saman itu termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Jeffrey Kitingan dan Pengarah Pusat Inisiatif Dasar Lim Teck Ghee.

Selain Khalid, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Plaintif juga memohon pengisytiharan bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan serta ajarannya didakwa menggalakkan keganasan dan merosakkan perpaduan kaum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS