Wakil rakyat DAP hari ini menyarankan penubuhan sebuah "misi perdamaian" Parlimen untuk membantu membebaskan rakyat Malaysia yang menjadi “tebusan” di Korea Utara.
"Kami mahu misi perdamaian ini terdiri daripada ahli parlimen pihak kerajaan dan pembangkang, untuk membantu menyelesaikan masalah ini," kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar pada sidang media hari ini.
Ditanya sama ada mereka bersedia untuk ke Korea Utara, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata bahawa mereka seharusnya pergi ke 'negara berkecuali’.
Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang megesa Dewan Rakyat membentangkan satu usul tergempar esok untuk membidas "keganasan" Korea Utara itu dan menggesa Pyongyang untuk membatalkan larangan ke atas rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.
"Rakyat Malaysia menyokong penuh keputusan lebih tegas oleh Putrajaya untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini di Korea Utara dan membantah penghinaan rejim yang tidak bertamadun itu - termasuk memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Korea Utara," katanya dalam satu kenyataan media.
Pyongyang hari ini bertindak menghalang rakyat Malaysia yang berada di negara itu daripada meninggalkan Korea Utara bagi memastikan keselamatan anggota diplomat dan rakyatnya yang berada di negara ini.
Ia susulan tindakan Malaysia mengusir Duta Korea Utara Kang Chol kerana membuat tuduhan
melulu dan tidak berasas terhadap Kuala Lumpur berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, pada 13 Februari lalu.
Jong-nam adalah abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Pyongyang turut bertindak balas dengan mengusir duta Malaysia di Pyongyang, semalam
dengan memberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara itu.
Bagaimanapun duta Malaysia itu telahpun diarahkan pulang sejak minggu lalu.