Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib arah sekat warga Korea Utara keluar Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersidang susulan ketegangan terbaru dengan Korea Utara.

“Saya juga mengarahkan ketua polis negara melarang semua rakyat Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini sehingga kita dapat memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara,” katanya.

Beliau berharap penyelesaian segera dapat dibuat dalam menangani kemelut itu.

“Saya gesa kepimpinan Korea Utara untuk segera membenarkan rakyat kami meninggalkan negara itu bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Imigresen tidak membenarkan mana-mana pegawai atau kakitangan kedutaan Korea Utara keluar dari negara ini.

"KDN melalui Jabatan Imigresen dah keluarkan arahan serta merta, tak ada mana-mana pegawai atau kakitangan yang ada di kedutaan Korea Utara yang dibenarkan untuk keluar dari negara ini.

"Arahan ini dikuat kuasa serta merta pada semua pintu keluar Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara," kata Zahid pada sidang media khas di Parlimen.

Sebelum ini, Korea Utara telah mengumumkan larangan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan kedua-dua negara makin memuncak susulan kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Jong-un.

Sementara itu, timbalan Zahid berkata, Malaysia tidak berhasrat untuk membuat tindakan balas terhadap Korea Utara.

Bagaimanapun, jelasnya, perkara sama perlu dilakukan terhadap pegawai dari Korea Utara kerana negara berkenaan telah memanipulasikan isu pembunuhan Jong-nam.

"Malaysia kena ambil tindakan sama kerana (Korea Utara) telah manipulasi kes pembunuhan,” katanya.

"Kita mahu hantar mesej jelas pada mereka bahawa jangan pernah menuding jari pada Malaysia dan rendahkan tahap Malaysia sebagai negara berdaulat yang telah jalankan semua siasatan berdasarkan profesionalisme oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia), Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.”

Zahid bagaimanapun pagi ini berkata rakyat Korea Utara bebas untuk keluar masuk ke negara ini:

"Rakyat biasa (Korea Utara) boleh. Pegawai dan kakitangan yang berada di kedutaan Korea Utara, pegawai (yang tak dibenar keluar Malaysia),” jelasnya.

Selain itu, ditanya berapa jumlah pegawai Malaysia yang berada di Korea Utara, Zahid berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Luar.

"Kita akan dapatkan maklumat dari Kementerian Luar. Mereka (Kementerian Luar) telah beri arahan pada pegawai dan kedutaan kita di Pyongyang," kata anggota parlimen Bagan Datoh itu.

Ditanya cara untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang berada di sana, Zahid berkata pihaknya akan mengambil tindakan berdasarkan Konvensyen Geneva.

Zahid turut memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat jemaah menteri Jumaat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS