PARLIMEN l Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita terhadap para penjawat awam yang melakukan jenayah rasuah, selain mereka yang membocorkan maklumat kerajaan.
"Beta dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat terperingkat kerajaan termasuk penjawat awam dan bekas penjawat awam," kata Seri Paduka.
Sultan Muhammad V menyampaikan titah semasa perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 hari ini.
Seri Paduka berkata, walaupun perbuatan itu dilakukan oleh segelintir pihak sahaja, namun ia telah menghakis kepercayaan rakyat.
"Justeru, Beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
"Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran," kata Seri Paduka.
Seri Paduka turut merakamkan penghargaan ke atas kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran-ajaran sesat serta ideologi militan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
"Tidak dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan peranan sangat penting dalam menjaga keselamatan negara, tanpa kita sedari pengorbanan mereka tidak terhingga demi tanah air tercinta.
"Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut," titah Seri Paduka dan menambah, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan perolehan kelengkapan dan kenderaan, menjaga kebajikan anggota seperti menyediakan kuarters dan sebagainya.
Sultan Muhammad V juga mengalu-alukan langkah kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti keselamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta 'Sea Basing' di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.
Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan, titah baginda.
Menyentuh keadaan ekonomi bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, kerajaan komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020.
"Justeru, kerajaan akan terus berusaha gigih untuk mengambil langkah-langkah konkrit bagi meningkatkan lagi saiz ekonomi daripada RM1.3 trilion pada masa ini kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.
"Di samping itu, untuk jangka panjang, kerajaan akan turut berusaha menjadikan Malaysia antara 20 buah negara ekonomi utama dunia," titah Seri Paduka.
Sultan Muhammad V juga bertitah penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memberi kesan terhadap rakyat, namun penyusutan ringgit adalah disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman.
"Beta percaya, kerajaan akan bertindak dengan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," titahnya.
Mengenai langkah mengurangkan beban rakyat terutama kumpulan B40 (pendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (40 peratus pertengahan), Seri Paduka percaya pelbagai inisiatif dijana termasuk pemberian subdisi bersasar, meningkatkan kadar dan mempelbagaikan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan kepada peniaga kecil dan sebagainya.
Menyentuh soal pemilikan rumah untuk golongan sasar, Seri Paduka bertitah setakat ini 77.1 peratus daripada sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2013 hingga 2018 berada pada peringkat pelaksanaan termasuk yang telah siap.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan juga bercadang membina 10,000 unit rumah untuk golongan muda (M40) yang dipanggil Rumah Mampu Milik yang dijangka bermula tahun ini dengan 5,000 unit akan dibina di atas tanah milik kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur.
Selain itu, Sultan Muhammad V menegaskan, kerajaan juga akan meminda Akta Kebankrapan 1967 bagi memberi peluang kedua kepada golongan bankrap untuk bangkit kembali memulakan kehidupan baru dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.
Seri Paduka turut memuji penekanan kerajaan terhadap pembangunan prasarana dan pengangkutan awam terutamanya yang berasaskan rel seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi meningkatkan hubungan dan mobiliti rakyat.
Menyentuh mengenai usaha melindungi kanak-kanak daripada penjenayah seksual yang mengeksploitasi mereka, Seri Paduka bertitah kerajaan akan membentangkan rang undang-undang jenayah seksual kanak-kanak untuk menangani masalah itu secara komprehensif.
Sultan Muhammad V turut menyambut baik dan menyokong Transformasi Nasional 2050 (TN50) seperti yang digagaskan Perdana Menteri dan menyifatkan ia suatu visi 30 tahun ke hadapan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara berjaya di persada dunia.
Mengulas mengenai kedudukan dan kesucian agama Islam, Seri Paduka berharap langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan, termasuklah meneruskan penguatkuasaan pentadbiran agama Islam.
"Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu minoriti Rohingya di Myanmar," titah Seri Paduka.
Sultan Muhammad V turut mengambil kesempatan menzahirkan sukacita terhadap kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang juga Penjaga Dua Kota Suci ke Malaysia minggu lepas.
"Sesungguhnya lawatan itu mengukuhkan kedua-dua negara yang berada pada tahap terbaik," titah baginda.
Terdahulu, Sultan Muhammad V yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Disember tahun lepas berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 di dataran Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April sementara Dewan Negara bersidang selama sembilan hari dari 17 hingga 27 April.