Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M beri 'petunjuk jelas' kembali ke parlimen
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Hampir 15 tahun bersara, di usia emas 91 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin membuat kejutan dengan kembali ke parlimen.

Facebook penyokong anaknya, Datuk Seri Mukhriz, melaporkan beliau mengajak menteri Umno Datuk Nazri Aziz yang mencabarnya untuk berentap di Langkawi.

“Mengapa dia mahu saya pergi ke tempatnya? Datanglah ke tempat saya.

“Awak menteri seluruh negara, bukan untuk Padang Rengas saja," beliau dipetik sebagai berkata di Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Selain menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Mahathir baru-baru ini turut diumumkan sebagai ketua BERSATU untuk bahagian Langkawi, Kedah.

Setiausaha agung BERSATU Datuk Sharuddin Md Salleh ketika dihubungi Malaysiakini hari ini menjelaskan:

"Tak ada cerita soal bertanding buat masa ini, Tun Mahathir hanya dilantik sebagai ketua penaja BERSATU Langkawi."

Bagaimanapun Mukhriz Mahathir FC melihat perkara itu sebagai “petunjuk jelas” Mahathir akan kembali bertanding sebagai anggota parlimen dan memilih Langkawi sebagai tempat baru untuk bertapak.

Mahathir, perdana menteri 22 tahun, amat sinonim dengan pembangunan pulau pelancongan terkenal di utara semenanjung Malaysia itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon Umno Datuk Nawawi Ahmad menang dengan majoriti 11,861 undi di kawasan parlimen majoriti Melayu itu.

Beliau mendapat 21,407 undi dengan mengalahkan Ahmad Abdullah (PKR) dengan 9,546 undi dan Marina Hussein (bebas) yang mendapat 180 undi.

Langkawi mempunyai 37,536 pemilih dalam pilihan raya umum lalu. Ia juga mempunyai dua dewan undangan negeri (DUN), iaitu Ayer Hangat dan Kuah.

Mukhriz Mahathir FC dalam tulisan itu berkata Mahathir tiada pilihan selain perlu bertanding semula dan “khabar gembira bagi penantian sebuah perubahan”.

“Dikhabarkan Tun Mahathir sangat popular, dikenali dan disukai oleh penduduk Langkawi atas jasa dan sumbangannya memajukan pulau tersebut, sekali gus menjadikan harapannya untuk menang adalah cerah jika bertanding di situ,” menurut laporan itu.

Kedah dilihat sebagai negeri yang paling berpotensi untuk BERSATU memandangkan ia negeri kelahiran Mahathir.

Mukhriz juga pernah menjadi menteri besar negeri itu sebelum ini.

Di era bersama BN, Mahathir adalah anggota parlimen Kubang Pasu, Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS