Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau telahpun membuat permohonan maaf kepada Lembaga Disiplin Umno sebanyak dua kali, iaitu ketika dipanggil menghadap Lembaga berkenaan dan kali kedua secara bertulis sebagaimana yang diarahkan.

"Walaupun begitu, saya diarah pula buat permohonan maaf secara terbuka kerana mengkritik mereka (lembaga disiplin). Saya tak tahu apa itu permohonan maaf secara terbuka.

"Beritahu apa sebenarnya yang perlu saya buat, dan bagaimana. Saya sudah minta maaf tapi tak cukup, lepas itu kena buat cara ini pulak... macamana ni, jangan cuba perbudak-budakkan saya," katanya.

Bagaimanapun, Zaid yang digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun, kerana mengkritik lembaga tersebut, tidak akan membuat sebarang rayuan terhadap keputusan tersebut.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas memberi penerangan kepada kira-kira 150 pemimpin dan ahli Umno bahagian Kota Bharu, berhubung isu penggantungannya berkuatkuasa 24 Jun lalu.

Menurut laporan Bernama, hukuman terhadap Zaid itu merupakan susulan daripada amaran lembaga disiplin parti kepadanya 7 April lalu kerana dikatakan terbabit dalam politik wang ekoran tindakannya membenarkan ejennya memberi wang bagi pihaknya semasa pemilihan peringkat bahagian tahun lalu.

Pada 4 Mei lalu, Zaid dan Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Syed Ali Al-Habshee diminta memohon maaf secara terbuka oleh Lembaga Disiplin berikutan kenyataan terbuka mereka terhadap lembaga itu yang dianggap menghina badan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Zaki Tun Azmi dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, selain tidak memohon maaf seperti yang dikehendaki oleh Lembaga Disiplin, Zaid juga tidak hadir semasa dipanggil menghadap lembaga itu pada 30 Mei dan 8 Jun lalu.

'MT perlu bersuara'

Mengulas lanjut mengenainya, Zaid berkata, beliau menerima keputusan penggantungannya sebagai Ketua Umno bahagian Kota Bharu, namun seboleh-bolehnya beliau mahukan supaya keputusan itu dibuat pucuk pimpinan parti sendiri.

"Kalau nak hukum saya hukumlah, tapi saya nak dengar dari Majlis Tertinggi (MT) sendiri, apakah Zaid Ibrahim melakukan rasuah seperti yang dituduh. MT perlu bersuara dan membuat keputusan.

"Ini kerana isu pengantungan ini bukan lagi berkisar kepada tuduhan rasuah yang dihadapi, tetapi tindakan saya mengkritik yang disifatkan Lembaga Disiplin sebagai menghina parti, dan saya dikenakan hukuman tiga tahun. Saya harap pucuk pimpinan tidak lepas tangan dan meneliti kes saya ini," katanya.

Zaid menyifatkan tindakan yang diambil ke atasnya sebagai satu penganiayaan dan menurutnya pucuk pimpinan parti perlu melakukan sesuatu memandangkan badan berkenaan seolah-olah mengenepikan soal asas kesnya, iaitu rasuah.

Menurutnya, beliau telah membuat rayuan mengenai tuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya dan meminta parti membersihkan namanya jika mendapati beliau tidak bersalah.

"Itu pada saya lebih penting. Saya rela digantung tapi saya minta parti bersihkan nama saya. Saya tak pernah buat apa yang dituduh (rasuah). Jika itu dilakukan (nama dibersihkan) bukan sahaja buat rayuan, minta maaf sepuluh kali pun boleh, sebab nama saya dah bersih," katanya.

Mengulas masa depan politik, Zaid berkata, beliau akan masih meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Kota Baharu, cuma tidak akan melibatkan diri dalam program-program yang berkaitan dengan parti.

Beliau berkata, tempatnya sebagai ketua Umno bahagian akan dipangku oleh timbalannya, Datuk Fatmi Salleh.