Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr Mahathir ‘harimau tua' nyanyuk yang perlu bersara
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 1:21 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad diibaratkan sebagai seekor 'harimau tua' yang digeruni selama 22 tahun sepanjang beliau berkuasa tetapi sekarang sering kali mengeluarkan kenyataan memalukan sama ada dengan niat berbohong untuk kepentingan politik atau nyanyuk.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata bekas perdana menteri sepatutnya bersara sepenuhnya kerana rakyat tidak mahu lagi mempercayai kata-katanya.

"Dulu ada 'harimau Asia' bernama Dr Mahathir yang digeruni semua orang, malah beliau sendiri mengakui dirinya seorang diktator sepanjang memegang tampuk kuasa selama 22 tahun.

"Harimau itu kini sudah tua sampai beliau suka sangat (pemimpin supremo DAP) Lim Kit Siang sehingga sanggup menerima individu yang dianggap sebagai pemimpin pembangkang untuk diangkat menjadi timbalan perdana menteri.

"Ini adalah agenda supaya anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz boleh menjadi perdana Menteri, selain sanggup bersekongkol dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan berjabat tangan dengannya sehingga menimbulkan tanda tanya adakah beliau sanggup menerima seorang pelaku homoseksual sebagai pemimpin Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Tengku Sariffuddin ini berbeza dengan tindakan sebelum ini yang memasukkan timbalan perdana menterinya Anwar ke dalam penjara atas alasan negara tidak boleh mempunyai perdana menteri yang homoseksual.

Manakala, Dr Mahathir katanya, pernah memberi amaran bahawa Lim adalah ancaman kepada Melayu dan juga dipenjarakan.

Setiausaha Akhbar Najib itu berkata, sehingga kini pelbagai dakwaan dangkal dilemparkan Dr Mahathir, termasuk cubaan menjatuhkan imej negara demi kepentingan peribadi dengan mengatakan Malaysia adalah antara 10 negara paling korup di dunia.

Bagaimanapun, katanya, hakikatnya adalah senarai terkini Transparency International, menunjukkan Malaysia adalah negara ke-55 yang paling tidak korup di dunia.

“Jelas, sama ada Mahathir berbohong ataupun dia tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan.

“Jika bukan begitu, mengapa dia kata Malaysia adalah antara 10 negara yang paling korup sedangkan Malaysia tersenarai antara satu pertiga daripada negara paling tidak korup di dunia?

“Realitinya, rakyat Malaysia tidak lagi boleh mempercayai apa-apa sahaja kata-kata U-turn Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, ini sekali gus menimbulkan persoalan Dr Mahathir sekadar berbohong atau tidak lagi mampu membezakan antara fakta dan rekaan.

Malah katanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga mempersoalkan Dr Mahathir.

"Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini memberi gambaran mengenai Dr Mahathir yang dulu mengatakan pembangkang adalah musuh tetapi kini dia boleh duduk semeja dengan mereka dan menjadi rakan karib.

“Dulu dia kata media Barat gemar mereka cerita, Kini dia kata apa yang dilaporkan media Barat adalah fakta.

“Dulu dia mengkritik Melayu mudah lupa tetapi kini dia sendiri yang pelupa. Jika dia bukan pelupa, mungkin dia nyanyuk sedikit,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS