PANDUAN BERITA Polis mengesahkan bahawa bahan kimia amat bertoksik digunakan untuk membunuh Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Jong-un.
Memetik analisis Jabatan Kimia, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahan itu dikenal pasti sebagai “ethyl s-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate” atau “agen saraf VX”.
VX, kata Khalid, disenaraikan sebagai senjata kimia bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.
Badan penyiaran awam Jepun Japan Broadcasting Corporation (NHK) minggu lalu, memetik pandangan pakar senjata kimia yang mencadangkan VX mungkin digunakan untuk membunuh Jong-nam.
Apakah VX?
Ia digunakan dalam perang sebagai agen saraf yang tidak mempunyai rasa, tidak mempunyai bau dan sukar dikesan.
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam Resolusi 687, mengelaskannya sebagai senjata pemusnah besar-besaran.
Ini kerana hanya 10mg diperlukan untuk menyebabkan kematian melalui sentuhan kulit.
Badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Council on Foreign Relations menyifatkan VX sebagai “agen saraf paling membawa maut yang pernah dicipta”.
Konvensyen Senjata Kimia PBB 1993 mengharamkan pengeluaran bahan itu daripada melebihi 100 gram setahun untuk satu-satu tempat.
Pertubuhan Larangan Senjata Kimia, yang mempromosikan CWC, hanya membenarkan pengecualian untuk tujuan kajian, perubatan dan farmaseutikal untuk membawa keluar VX dari pusat pengeluaran berskala kecil dengan jumlah agregat tidak lebih 10kg setahun bagi satu-satu tempat.
Agen saraf jenis ini jauh lebih bahawa daripada sarin yang sudah diketahui ramai. Sarin, yang juga tidak berwarna dan tidak berbau, turut dikategorikan sebagai senjata pembunuh besar-besaran.
Bagaimana VX boleh wujud?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), VX pada mulanya dibangunkan di United Kingdom sekitar tahun 50-an sebagai agen kimia pembunuh dalam peperangan.
The Guardian melaporkan agen saraf itu pertama kali disintesis oleh ahli kimia yang bekerja di Imperial Chemical Industries di Britain, Ranajit Ghosh'
Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Washington pula berkata, tentera British pernah mengkaji ketoksidannya sebelum menyerahkan formula itu kepada tentera AS.
AS memulakan pengeluaran besar-besaran VX pada tahun 1961.
Pernahkah ia diguna sebagai senjata?
Memetik CDC, CNN melaporkan ia dipercayai telah digunakan dalam perang Iran-Iraq sekitar tahun 80-an.
Tentera AS juga terlibat beberapa pengeluaran terkawal dan tidak sengaja gas itu.
Dilaporkan menghasilkan 50 tan VX, Iraq bawah pemerintahan presiden Saddam Hussein dipercayai menggunakan bahan itu untuk menyerang puak Kurdish pada tahun 1988.
Negara mana yang memilikinya?
Hanya AS dan Rusia yang mengaku memiliki stok VX. Bagaimanapun, The Guardian percaya lebih banyak lagi negara lain yang memiliki bahan itu.
Bawah Konvensyen Senjata Kimia PBB, AS telah memusnahkan sebahagian kecil simpanannya, diikuti dengan Rusia.
Menurut NGO antarabangsa antisenjata pemusnah besar-besaran, Inisiatif Ancaman Nukelear (NTI), Korea Utara mendakwa tidak pernah mempunyai program senjata kimia.
Bagaimanapun, negara itu dipercayai memiliki antara 2,500 hingga 5,000, termasuk VX, menjadikan pihak ketika yang paling banyak memiliki bahan itu selepas AS dan Rusia.
“Kerajaan Korea Utara menilai bahawa Korea Utara mampu menghasilkan kebanyakan jenis senjata kimia dalam negaranya, walaupun ia harus mengimport beberapa prekursor untuk menghasilkan agen sarat, yang telah pun dilakukan sebelum ini.
“Pada kapasiti maksimum, Korea Utara dijangka mampu menghasilkan sehingga 12,000 tan (senjata kimia).
“Agen saraf seperti sarin dan VX dianggap menjadi fokus pengeluaran Korea Utara.” lapor The Guardian, dengan memetik NTI.
Apa kesan VX pada manusia?
Menurut Akademi Kebangsaan AS, pendedahan dengan dos hampir membunuh menyebabkan hilang kesedaran, kekejangan, hilang upaya bergerak dan masalah apnea.
Seperti semua agen saraf, VX juga menyebabkan enzim-enzim penting tubuh tidak berfungsi, yang membawa kepada keletihan dan ketidakmapuan pernafasan, lapor CNN.
Simptomnya akan bermula sejurus selepas terkena sehingga 18 jam kemudian, bergantung kepada sejauh mana pendedahan terhadap seseorang individu.
Mangsa juga boleh pitam manakala dos yang banyak boleh menyebabkan kelumpuhan dan maut akibat kegagalan sistem pernafasan.
Dos yang rendah pula boleh menyebabkan degupan jantung bertambah kencang, loya, air liur meleleh, penglihatan menjadi kabur, kesakitan dan kelesuan.
Bolehkah mangsa dirawat?
Walaupun terdapat penawar untuk VX, ia hanya berkesan dengan sempurna apabila dirawat segera kerana bahan itu bertindak pantas.
Laporan ini disusun oleh ALYAA AZHAR.