Lima tahun lalu, Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemerintah Korea Utara, merayu 'minta nyawa' kepada adiknya, demikian menurut dua penggubal undang-undang di Korea Selatan.
Dia menulis surat kepada Kim Jong Un, yang mengambil alih kuasa selepas bapa mereka Kim Jong Il meninggal dunia pada Disember 2011, dan memintanya supaya menarik balik satu perintah pembunuhannya, demikian menurut penggubal undang-undang, yang telah diberi taklimat oleh agensi perisikan Korea Selatan.
"Kami tak ada tempat nak pergi, tempat untuk bersembunyi, Kami juga sedar bahawa satu-satunya cara untuk melarikan diri adalah dengan membunuh diri," kata Kim Jong Nam dalam surat kepada Kim Jong Un, kata salah seorang penggubal undang-undang itu.
Kim Jong Nam, 46, mati, kemungkinan diracun, di terminal lapangan terbang kos rendah di Kuala Lumpur pada hari Isnin. Pegawai kerajaan Amerika dan Korea Selatan berkata, mereka percaya dia telah dibunuh oleh ejen-ejen dari Korea Utara.
Kim Jong Nam - anak sulung Kim Jong Il - bersembunyi dari pandangan umum selama bertahun-tahun kerana bapa dan ibunya, seorang pelakon, tidak berkahwin secara sah. Dia tidak ditunjukkan kepada datuknya, Presiden pengasas Korea Utara Kim Il Sung, sehinggalah dia berusia lima tahun.
Kim Jong Nam menghabiskan masa sembilan tahun belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Geneva.
Apabila kembali ke Pyongyang, dia menyertai kerajaan. Bapanya menjadi pemimpin pada tahun 1994 dan Kim Jong Nam dijangka oleh sesetengah pihak bakal menggantikannya -. sehinggalah berlakunya insiden Disneyland.
Pada bulan Mei 2001, Kim Jong Nam ditangkap di lapangan terbang Narita Tokyo dan ditahan kerana menggunakan pasport palsu Republik Dominican. Su ditemani isterinya, seorang lagi wanita yang dipercayai menjadi pengasuh, dan seorang budak lelaki berusia empat tahun, anaknya, demikian menurut laporan media.
Dia berkata keluarga mahu melawat Disneyland. Tokyo. Kesemua mereka dihantar pulang dan kembali ke Korea Utara melalui Beijing.
Bapanya malu dengan kejadian tersebut dan selepas itu, bintang Kim Jong Nam menjadi semakin malap.
ibu Kim Jong Nam, Song Hye Rim akhirnya tinggal di Moscow, jauh daripadanya, dan meninggal dunia di sana selepas bertahun-tahun hidup dalam kemurungan. Kim berkata dia sering menziarahi kubur ibunya di Moscow.
Suka hidup bebas
Selepas insiden Disneyland itu, sebahagian besar hayat Kim Jong Nam dihabiskan di luar negara, yang pertamanya di China dan kemudiannya di Macau.
Perkhidmatan perisikan Korea Selatan berkata dia mempunyai isteri-isteri dan anak-anak di Beijing dan Macau, demikian menurut penggubal undang-undang.
"Kerana saya mendapat pendidikan di Barat, saya dapat menikmati kebebasan dari awal usia saya dan saya masih suka hidup bebas," katanya dalam nota kepada seorang wartawan Jepun, Yoji Gomi, yang menulis sebuah buku mengenai Kim Jong Nam pada tahun 2012. "Sebab saya kerap melawat Macau ialah kerana ia merupakan tempat yang paling bebas dan liberal yang berdekatan dengan China, di mana keluarga saya tinggal."
Penggubal undang-undang Korea Selatan berkata agensi perisikan memberitahu bahawa Kim Jong Un telah mengeluarkan "perintah tetap" pembunuhan abang tirinya itu selepas dia mengambil alih kuasa, dan satu percubaan gagal pada tahun 2012.
"Kim Jong Un berkata:" Saya amat benci padanya, jadi hapuskan dia," kata Kim Byung-kee, salah seorang penggubal undang-undang, yang memetik agensi perisikan sebagai berkata mengenai perintah tetap itu.
Sesetengah penganalisis berkata Jong Un percaya abangnya boleh digunakan untuk menggulingkan rejimnya.
Selepas itu, Kim Jong Nam tidak tinggal lama di setiap tempat, dan dia kerap mengembara antara pelbagai bandar raya di Asia Tenggara dan China. [Baca berita penuh]
- Reuters