DAP mungkin memiliki lebih banyak barah tersembunyi dari dalam parti itu, kata ahli parlimen Kota Melaka Sim Tong Him yang baru-baru ini mengumumkan keluar parti.
Sim merujuk komen Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai yang mengalu-alukan perletakan jawatan empat wakil rakyat daripada parti itu kerana telah berubah dan menganggapnya "sebagai barah dalam parti".
Sim bersama ADUN Duyong, Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong mengumumkan keluar parti itu Ahad lalu.
Sim berkata keputusan itu dibuat beberapa bulan lalu tetapi mereka memutuskan untuk mengumumkannya seminggu selepas penggantungan selama setahun berakhir supaya tidak mengganggu sambutan Tahun Baru Cina.
Katanya, beliau meletak jawatan kerana pendirian oportunis DAP mengenai isu-isu utama baru-baru ini dan bukannya kalah dalam pemilihan parti seperti didakwa beberapa pemimpin.
Menjawab tuduhan Tan, Sim berkata barah tumbuh dari dalam parti itu.
"Jangan panggil kami barah. Kami tidak digunakan oleh orang luar, tetapi tumbuh daripada badan. Kami tidak keluar parti, tetapi berhenti sendiri.
"Jika ini berlaku, adakah tidak perlu DAP lakukan pemeriksaan tubuh untuk lihat berapa banyak barah tersembunyi dalam badan?
"Setelah barah meletus, ia boleh membawa maut," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di pejabatnya di Melaka, sehari selepas beliau meletakkan jawatan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui kesilapannya dalam mempercayai kesetiaan Sim dan tiga yang lain kepada DAP serta kempen untuk Selamatkan Malaysia.
Dalam wawancara selama sejam itu, Sim menyifatkan orang-orang seperti Lim sebagai "munafik" dan menggelar kenyataannya sebagai "tidak bertanggungjawab".