Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Laporan polis ke atas saya untuk orang pekak, buta, tuli
Diterbitkan:  Feb 13, 2017 8:41 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan mereka yang membuat laporan polis berhubung dakwaannya terhadap projek Forest City di Johor berjaya menarik perhatian golongan 'pekak, buta dan tuli'.

"Walaupun bodoh tetapi laporan polis yang dibuat berjaya menarik perhatian kumpulan yang pekak, buta dan tuli (PBT).

"Saya akan membuat penjelasan yang lebih panjang dan mempamerkan fakta-fakta berkenaan projek ini apabila saya dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam catatan di blog.

Mahathir sebelum ini mempersoalkan projek Forest City dengan memetik laporan akhbar Bloomberg, yang menyebut projek di Johor Bahru itu akan menyaksikan kebanjiran rakyat China ke negeri itu.

Forest City seluas 1,386 hektar itu akan dibina di atas empat pulau buatan manusia di kawasan Iskandar Malaysia, dan dijangka mengambil masa 30 tahun untuk siap sepenuhnya.

Awal bulan ini, lima NGO mendesak Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Johor dan rakyat negeri itu, menyifatkan pandangannya mengenai Forest City berbaur hasutan.

Mahathir berkata beliau hairan mengapa NGO terbabit tidak membuat laporan polis terhadap Bloomberg, yang turut membuat dakwaan yang sama.

"Besar kemungkinan puak PBT ini tidak baca, atau kalau baca sekalipun tidak faham. Yang dilapor oleh Bloomberg lebih dari yang saya sebutkan dalam ucapan saya.

"Sekarang selepas saya jelaskan asas dakwaan saya, buatlah laporan polis terhadap Bloomberg. Tetapi saya yakin mereka tidak berani.

"Tujuan laporan mereka terhadap saya bukan diasaskan kepada kenyataan saya itu tidak betul. Laporan dibuat untuk menghentikan saya dari bercakap benar. Dalam Malaysia sekarang ini kebenaran amat ditakuti. Pembohongan disanjung tinggi," kata bekas perdana menteri itu.

Beliau turut mengesyorkan NGO terbabit membuat lawatan ke Forest City untuk melihat 'dengan mata kepala sendiri' siapa pembeli bangunan di kawasan itu.

"Dahulu, di waktu kita kurang bijak, Singapura telah dijual ke British. Sekarang ini Singapura menjadi negara asing yang tidak mungkin dikembalikan kepada Johor.

"Penjualan tanah untuk dibangun dan diduduki oleh orang asing selama-lamanya tidak banyak berlainan dengan penjualan Singapura.

"Sesungguhnya NGO-NGO ini mengkhianati bangsa dan negara kerana menyokong penjualan wilayah di Malaysia kepada orang asing yang akan mendiri bandar-bandar mewah untuk diduduki dan dimiliki selama-lamanya oleh mereka," kata Mahathir.

Mahathir juga berkata tidak ada mana-mana negara di dunia yang sanggup menerima kemasukan ramai orang asing ke negara mereka.

Katanya, pendirian rakyat Johor yang menolak kemasukan orang asing menerusi projek Forest City tidak berbeza dengan pendirian bangsa-bangsa lain terhadap kemasukan beramai-ramai orang asing ke negara mereka.

"Amerika dengan penduduk seramai 325 juta pun menolak kemasukan orang Mexico dan oleh Trump, orang Islam.

"Di Palestin, pembinaan bandar-bandar untuk orang Yahudi di tanah milik orang Palestin ditentang oleh mereka. Di Eropah kemasukan pelarian dari Syria dan lain-lain negara Arab dan Afrika dihalang oleh mereka," katanya.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS