Paling Popular
Terkini
story images
story images

Datuk Seri Azmin Ali hari ini bertegas enggan mendedahkan identiti "menteri kanan" yang dikaitkan dengan khabar peletakan jawatan daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak.

Ditemui di Subang Jaya, Azmin berkata, dia berbuat demikian atas beberapa sebab.

Pertama, kata menteri besar Selangor itu, beliau tidak "membuat kenyataan" mengenai peletakan jawatan berkenaan sebaliknya hanya bertanya.

"Saya tanya soalan, tapi soalan yang mudah (macam itu) pun pimpinan (BN) agak melatah, daripada perdana menteri ke timbalan perdana menteri.

"Kedua, saya tidak menamakan sesiapa pun. Saya tak akan menamakan (orang itu) kerana menghormati perbincangan sulit antara saya dengan individu berkenaan," katanya kepada media.

Menurut Azmin, jika identiti "menteri kanan" itu didedahkan beliau bimbang akan berlaku ugutan atau tekanan ke atas individu terbabit.

Timbalan presiden PKR itu bercakap kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran buku terbaru ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali, Sejarah dan Dasar Perjuangan Parti yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80.

Semalam melalui Twitter Azmin melontarkan pertanyaan mengenai kemungkinan seorang anggota kabinet Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana "tidak mahu bersubahat dengan 1MDB."

 

 

Syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu didakwa terbabit dalam amalan salah laku dan penyelewengan serta dikaitkan dengan Najib.

Bagaimanapun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengesahkan perdana menteri tidak terlibat dalam sebarang salah laku dalam 1MDB.

Ekoran tweet Azmin itu Najib kemudian menganggapnya berbohong dan mencabarnya supaya mendedahkan nama "menteri kanan" berkenaan.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menuduh Azmin berbohong kerana tiada mana-mana menteri meletak jawatan ketika ini.

Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan Azmin semalam merujuk kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Kata Azmin, reaksi Najib terhadap soalannya di Twitter semalam menunjukkan bahawa perdana menteri kini berada dalam keadaan "tidak selesa" dan "tahap keyakinan yang begitu rendah".

"Kabinet saling curiga-mencurigai," katanya.

Ditanya mengenai butiran lanjut pertemuan itu, Azmin sekali lagi enggan memberi sebarang maklumat.

Apabila ditanya wartawan, di mana pertemuan itu berlangsung, Azmin cuma menjawab: "Dalam dunia ini."

Selepas ditanya bila pertemuan itu berlaku, ini jawapan Azmin: "Pada suatu ketika dulu."

Ditanya wartawan apakah potfolio individu itu, Azmin menjawab: "(Dia) dari Malaysia, menteri Malaysia. (Ia) suatu portfolio yang diputuskan oleh perdana menteri."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS