Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ada menteri letak jawatan kerana 1MDB?
Diterbitkan:  Feb 10, 2017 8:35 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Datuk Seri Azmin Ali hari ini bermain teka-teki berhubung kedudukan seorang "menteri kanan" yang didakwanya meletak jawatan.

Kata menteri besar Selangor itu, menteri terbabit melepaskan jawatannya kerana "tidak mahu bersubahat" dengan isu 1MDB.

Bagaimanapun melalui status Twitter itu Azmin tidak menyatakan secara jelas menteri berkenaan, sebaliknya sekadar melontarkan pertanyaan.

"Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB. Cuba ikuti perkembangan," kata Azmin di Twitternya petang tadi.

Kenyataan itu bagaimanapun tergantung begitu saja.

 

 

Cubaan Malaysiakini mendapatkan maklumat lanjut daripada beberapa pihak - termasuk menteri dan bekas menteri - mendakwa mereka tidak tahu menahu mengenainya.

Mereka juga mengaku tidak mendengar sebarang khabar berkaitan isu berkenaan.

Kebanyakan mereka menolak untuk dipetik, tetapi Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Gani membenarkan reaksinya dipetik.

"Saya tak tahu mengenainya. Saya baru tahu," katanya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz juga mengaku tidak ada maklumat mengenai peletakan didakwa Azmin itu.

"Tetapi yang pasti ia bukan saya," katanya.

Nazri turut mendakwa kenyataan Azmin itu hanyalah helah timbalan presiden PKR berkenaan.

"Saya rasa apabila Datuk Zaid Ibrahim menyertai DAP, ia menyebabkan berlaku perpecahan besar di kalangan pembangkang.

"Jadi sekarang mereka cuba mencipta sesuatu untuk mengalihkan perhatian," katanya.

Di Twitter, ramai pengguna tertanya-tanya siapakah menteri kanan dimaksudkan Azmin itu.

Bagaimanapun tiada sebarang reaksi diberikan menteri besar Selangor itu di Twitter di sebalik kenyataannya itu diulang lebih 200 kali.

Exco Pulau Pinang yang diketahui rapat dengan Azmin, Dr Afif Bahardin, turut melontarkan pertanyaan berkenaan dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Seorang menteri kabinet letak jawatan tadi. Katanya kerana tidak sanggup lagi pertahan skandal 1MDB untuk @NajibRazak. Siapa?" katanya.

Apabila ditanya soalan berkenaan, Dr Afif sekadar menjawab: "Tunggulah."

Andainya bayangan diberi Azmin itu benar, ia mungkin satu lagi perkembangan yang menjejaskan imej kerajaan pimpinan Najib dalam isu 1MDB.

Sebelum ini beberapa menteri kanan sudah menjadi 'korban' kepada isu berkenaan, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pada September tahun lalu Ahmad Husni yang pernah diberi kepercayaan menjadi menteri kewangan kedua berkata, beliau tertekan dengan kemelut melanda 1MDB.

Dipetik Sinar Harian, Ahmad Husni berkata tekanan darahnya naik mendadak selama lima jam pada awal April lalu kerana tertekan.

“Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada," katanya.

Walaupun syarikat pelaburan milik negara itu dikatakan bermasalah dan ada kaitan dengan Najib, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan perdana menteri tidak terlibat dalam sebarang salah laku 1MDB.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS