Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

Umno dan PAS hari ini 'sekapal' melalui misi bantuan Food Flotilla for Myanmar‎.

Datuk Seri Najib Razak berkata, misi bantuan oleh Kelab Putra 1Malaysia bersama NGO‎ dilakukan atas keprihatinan terhadap penderitaan umat Islam khususnya etinik Rohingya di Myanmar.

‎"Detik yang amat bersejarah, hari ini kita akan sama-sama melepaskan satu misi iaitu Food Flotilla For Myanmar.

"‎Saya terharu dengan bilangan sukarelawan yang akan naik kapal atas kerelaan hati‎, ada yang menyumbang. Inilah tanda keprihatinan rakyat Malaysia.

"Selain itu saya nak beritahu bahawa kapal ini perlambangan penyatuan ummah‎ Malaysia.

“Sebab memang benar ada orang Umno, ada orang PAS," katanya ketika berucap di majlis pelancaran misi bantuan itu di Pelabuhan Klang, hari ini.

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PAS dalam acara itu.

Tuan Ibrahim imam, Jamil Khir baca khutbah

Tuan Ibrahim malah mengimamkan solat Jumaat yang disertai Najib.

Khutbah pula dibacakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Masjid Al-Qayyum Bandar Amanda Putra, di situ.

Tuan Ibrahim hadir bagi menggantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan berhalangan susulan terpaksa hadir pemeriksaan kesihatan.

Malah, beliau menyifatkan itu satu detik sejarah yang berlaku melalui kerjasama tersebut.

Najib yang juga presiden Umno berkata, misi bantuan itu juga susulan kerjasama Umno dan PAS melalui program Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang berlangsung di Tasik Titiwang, 4 Disember lalu.

Katanya, selepas itu beliau mengadakan sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyatakan dengan suara yang cukup jelas.

"Kita tak berpuas hati dengan pemukiman dengan usul, tetapi kita nyatakan sudah cukup sudah penderitaan terhadap etnik Rohingya," katanya.

Beliau turut meninjau keadaan kapal Nautical Aliya yang membawa 2,200 tan bekalan makanan serta 250 sukarelawan yang berlepas ke Yangon, kira-kira jam 4 petang tadi.

Sementara itu ditanya apa lagi bentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu, Najib berkata ia akan bergantung kepada perkembangan seterusnya.

"‎Kita akan tengok perkembangan selanjutnya, kita berharap bantuan ini akan sampai kepada kumpulan yang memerlukan.

"Dan selepas ini kita akan tengok perkembangan seterusnya dan Malaysia akan teruskan perjuangan kita atas isu ini," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS