Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan pendirian PAS berhubung bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mendakwa kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bercanggah dengan keputusan mesyuarat pada Rabu lalu antara BERSATU-PAS yang dihadiri oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tmbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Lim berkata Mukhriz berjumpa dengan beliau semasa menghadiri di Rumah Terbuka Pakatan Harapan di Alor Setar, Kedah malam semalam dan menjelaskan perkara itu kepadanya.

"Mukhriz seolah-olah keliru berhubung perkara itu, kita akan membincangkannya pada 7 Februari apabila kita berjumpa di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mengulas soalan mengenai pendirian DAP berhubung pertemuan PAS dan BERSATU untuk membentuk satu "jawatankuasa induk" untuk membincangkan kerjasama dalam PRU14.

Lim berkata kekeliruan timbul apabila Hadi dipetik dalam akhbar New Straits Times sebagai berkata, "Sebarang keputusan rasmi perlu secara kolektif dibuat oleh jawatankuasa pusat PAS dan bukan oleh seorang individu".

Beliau melahirkan harapan bahawa keputusan untuk bekerjasama atau sebaliknya antara kedua-dua parti akan dibuat secepat mungkin.

"Kami berharap untuk mendengar keputusan itu pada kadar segera, dan bukan hanya melalui media, kerana kita adalah sekutu, dan ini menjadi amalan Pakatan Harapan," katanya.

Berikutan pertemuan itu, beberapa pemimpin PAS dilaporkan berkata bahawa jalan masih berliku dan kabur dalam usaha memeterai perjanjian dengan BERSATU.

Sementara itu, Lim turut mengulangi bahawa tidak ada ruang untuk DAP bekerjasama dengan PAS.

Sebelum ini, bapanya, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menghulurkan salam perdamaian kepada Hadi untuk bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Hadi berkata "pintu masih ditutup" kepada DAP tetapi terbuka kepada BERSATU.

"Ini bukan apa yang saya katakan, tetapi Hadi, perjanjian itu hanya antara PAS dan BERSATU.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi menyelamatkan Malaysia dan melawan skandal 1MDB.

"Perjuangan menentang skandal 1MDB boleh menyatukan pembangkang tetapi kita masih belum mendengar pendirian PAS mengenai perkara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS