Paling Popular
Terkini
story images
story images

Lim Kit Siang menimbulkan lagi fitnah terhadap presiden PAS kononnya beliau tidak mengikut prinsip konsensus kerana tidak bersetuju dengan pendirian DAP serta PKR.

Bagi Lim - dan orang yang sama waktu dengannya - tidak bersetuju dengan majoriti, maka ia bererti tidak konsesus.

Dia keliru antara prinsip majoriti dan prinsip konsensus.

Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara konsensus.

Majoriti ialah kaedah melibatkan keputusan yang dipersetujui majoriti ahli diterima pakai. Minoriti pula mesti patuh sebagai keputusan kolektif. Tidak timbul soal ia bukan keputusan mereka (minoriti). Semua kena menerima.

Pakatan Rakyat (PAKATAN) memilih kaedah konsensus, bukan kaedah majoriti.

Maksudnya, hanya agenda yang dipersetujui secara konsensus boleh dilaksanakan sebagai agenda PAKATAN.

Jika ada mana-mana ahli tiga parti dalam PAKATAN tidak bersetuju - walaupun yang lain bersetuju - maka ia tidak konsensus. Justeru, tidak boleh menjadi agenda bersama PAKATAN.

Konsensus tidak menghalang mana-mana pihak untuk berlainan pandangan. Konsensus juga tidak memaksa mana-mana pihak mesti bersetuju dengan pandangan majoriti.

Apabila presiden PAS menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PAKATAN. (Menariknya, akhirnya mahkamah membuktikan tuduhan tersebut semuanya palsu dan fitnah).

Apabila PAS tidak bersetuju dengan satu nama saja sebagai calon menteri besar Selangor oleh PKR dan DAP, itu juga bukan menentang konsensus.

Sudah terang lagi bersuluh

Itu adalah hak ahli dalam prinsip konsensus. Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti. Akhirnya DAP dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengingkari arahan baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.

Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden PAS adalah tepat. Akhirnya terbukti DAP dan PKR gopoh dan cuai mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.

Lim tidak memahami perbezaan antara konsensus dengan majoriti, atau sengaja cuba menegakkan benang basah? Mencipta alasan karut kerana marah beliau kepada presiden PAS?

Lim juga sengaja memejam mata terhadap satu lagi prinsip PAKATAN iaitu "setuju untuk tidak bersetuju" yang dicanang beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hulu ke hilir suatu waktu dahulu.

Jelas, sudah terang lagi bersuluh, dalam PAKATAN, mana-mana parti daripada tiga parti tersebut boleh berbeza pandangan. Apabila ada perbezaan pandangan, maka konsensus tidak dicapai dan tidak boleh dijadikan agenda bersama PAKATAN.

Apabila konsensus tidak dicapai, sepatutnya DAP dan PKR tidak meneruskan agenda menjatuhkan Khalid. Seterusnya tidak juga mencalonkan hanya satu nama sebagai menteri besar Selangor.

Tapi malangnya mereka melanggar prinsip konsensus tersebut. Mereka teruskan walaupun konsensus tidak dicapai. Sikap tidak mematuhi perjanjian inilah sebenarnya yang membawa kepada perpecahan PAKATAN. Selamanya mereka akan melanggar perjanjian.

DAP dan PKR jelas bersalah memecah-belahkan PAKATAN. Mereka menjadikan presiden PAS sebagai alasan menutup kesalahan mereka.

Sekarang, cerita lama tersebut diulang kembali. Dengan harapan orang ramai tidak cukup cerdik memahami permainan politik kotor mereka.


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah anggota parlimen Kuala Nerus. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS