Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad kesal dengan tindakan polis meminta beliau hadir melakukan kawad cam namun tidak menampilkan watak utama yang melakukan serangan di luar bangunan parlimen November lalu.
Menurut Khalid, hanya individu yang dilihat sebagai pemerhati kejadian dibawa dalam sesi kawad cam berkenaan dan bukan individu yang menyerangnya.
"Dari video yang dikongsikan saya dapati watak-watak utama tidak hadir untuk kawad cam itu di mana anak timbalan menteri yang terlibat pada ketika itu saya cari tidak ada.
"Ada dua, tiga individu yang bertindak kasar dengan salah seorang mereka memakai baju petak-petak pun tidak ada, yang bertakbir dan cakap banyak pun tak ada," kata Khalid dalam sidang media di ibu pejabat parti AMANAH hari ini.
Dalam kejadian pada 24 November lalu, Khalid diserbu sekumpulan orang mendakwa dari Pasir Salak, Perak, ekoran pertikaman lidah membabitkan perkataan "sial" antaranya dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Tajuddin juga merupakan ketua bahagian Umno Pasir Salak merangkap anggota parlimen kawasan berkenaan.
Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan.
Seorang daripada mereka ialah anak Tajuddin sendiri.
Mengulas lanjut Khalid yang juga Ketua Penerangan AMANAH Pusat berkata beliau telah meminta pegawai penyiasat mencatatkan segala komen beliau.
Dalam sidang media itu juga Khalid meminta Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memandang serius kes terbabit.
"Kita mengharapkan bahawa pihak pejabat Peguam Negara mengambil tindakan yang cepat, segera dan serius untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pejabat Peguam Negara itu sendiri kerana sudah banyak isu yang timbul seperti 1MDB," kata Khalid.
Katanya lagi, Speaker Dewan Negara Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga diminta memainkan peranan beliau dengan mengkaji apakah tindakan sewajarnya ke atas anggota Parlimen Pasir Salak.
"Tan Sri Speaker juga perlu memikirkan dan mempertimbangkan tindakan yang wajar untuk kita bendung kes-kes sebegini.
"Kalau tidak ada apa tindakan akan adalah yang akan membawa penyokong mereka sendiri dan kita akan melihat satu keadaan yang huru hara di dalam Parlimen itu sendiri kerana tidak ada tindakan yang tegas.
Tambah Khalid, apa yang berlaku pada 24 November itu boleh dielak sekiranya speaker mengambil tindakan tegas mengawal ucapan di dalam Dewan Rakyat.