Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap terbuka untuk mengekalkan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya pembangkang, bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil alih kuasa.
Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata BR1M akan dikekalkan jika dasar itu didapati perlu.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang usaha untuk menggunakan
dasar itu bagi memancing undi akan dihapuskan.
"Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti," katanya di hadapan lebih 5,000 orang pada majlis pelancaran rasmi parti itu di Shah Alam malam ini.
Mahathir dalam ucapannya berkata BR1M akan diinstitusikan tanpa sebarang unsur politik.
"Jika dipersetujui oleh rakyat, BRIM akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa.
"Perdana menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya," kata beliau.
Mahathir turut memberi jaminan bahawa golongan miskin dan daif akan diberi bantuan agar mereka hidup sempurna.
"Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambil kira dalam bantuan yang akan diberi," katanya.
Mahathir sebelum ini berulang kali menuduh kerajaan BN menggunakan BR1M untuk merasuah pengundi.
Pada tahun ini, isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dijangka menerima BR1M sebanyak RM1,200.
Isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 akan menerima RM900 manakala individu berpendapatan di bawah RM2,000 akan menerima sebanyak RM450.