Penangkapan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian tidak dapat menutup rasa kecewa yang diluahkan oleh bekas pengarah bahagian operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
"Penahanan KSU sebenarnya menguatkan keluhan Bahri yang dipetik sebagai berkata 'amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah',” kata Tuan Ibrahim.
Malah, katanya, penahanan KSU itu sebenarnya menimbulkan tanda-tanya mengapa SPRM dapat bertindak kepada penjawat awam dengan mudah tapi tiada tindakan yang serupa ke atas kes besar seperti SRC International yang menurutnya, melibatkan nama-nama ahli politik berjawatan tinggi.
Dalam satu kenyataan, Tuan Ibrahim berkata tindakan SPRM itu mengundang pelbagai soalan di minda rakyat.
"Antaranya, siapa yang menghalang kes SRC dan siapa pula memberikan lampu hijau kepada penahanan KSU?" tambahnya.
SPRM semalam menahan seorang KSU dan seorang lelaki berusia 29 tahun atas dakwaan salahguna kuasa dan rasuah.
Tangkapan itu dibuat sehari selepas Bahri mendedahkan dia telah memilih untuk bersara awal kerana kekecewaan berkaitan kes SRC.