Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Najib berhak guna jet k'jaan untuk bercuti, tapi...

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempertahankan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan pesawat kerajaan untuk bercuti bersama keluarganya di beberapa destinasi di Australia.

Beliau berkata ramai yang tidak menyedari bahawa Najib, selaku perdana menteri, berhak untuk menggunakan pesawat milik kerajaan jenis Airbus Corporate Jet A319.

"Sebagai perdana menteri, beliau berhak untuk menggunakan pesawat itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nur Jazlan yang juga adalah ahli parlimen Pulai berkata walaupun adalah lebih elok jika Najib menguruskan penerbangannya secara peribadi, terdapat isu lain yang perlu dipertimbangkan.

"Kadang-kadang untuk tujuan keselamatan adalah lebih baik untuk beliau (Najib) menggunakan kemudahannya sebagai perdana menteri untuk menguruskan pengangkutan yang diperlukan untuk bercuti," katanya.

Diasak mengenai bidasan orang ramai berhubung penggunaan pesawat rasmi untuk tujuan bercuti dengan keluarganya, Nur Jazlan berkata ramai yang tidak menyedari hak perdana menteri itu.

"Ya. Ya. Ya (Ramai yang tidak sedar) Pokoknya:... perdana menteri berhak menggunakan jet."

"Perdana menteri menggunakan jet itu untuk pergi bercuti. Ini adalah haknya.

"Sama ada ini adalah sensitif dari segi politik atau tidak, bagi saya itu isu yang berasingan. Tetapi beliau berhak untuk menggunakan jet itu sebagai perdana menteri," katanya.

Pesawat Airbus Corporate Jet A319 milik kerajaan dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya pada 22 Disember lalu pada jam 12:07 pagi dan mendarat di Gold Coast, Australia pada jam 10:06 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun pesawat itu hanya berhenti sebentar kerana ia berlepas pula dari Gold Coast pada jam 11.47 pagi dan mendarat di Brisbane pada pukul 12.09 tengah hari.

Tiada penerbangan komersial antara Brisbane dan Gold Coast kerana jaraknya hanya 110 kilometer atau satu jam perjalanan sekiranya memandu kenderaan.

Kebetulan, selepas pesawat itu singgah di Gold Coast selama satu jam 41 minit sebelum ke Brisbane, anak Najib, Mohd Norashman memuat naik gambarnya di Instagram.

Pada 23 Disember, sehari selepas persinggahan itu, Norashman memuat naik gambar beliau bermain golf di Instagram dan menggunakan tag "#goldcoast".

Keesokan harinya, Norashman memuat naik ke Instagram gambar penguin di taman tema Sea World Gold Coast.

Pada 26 Disember lalu, jet kerajaan Malaysia berlepas dari Brisbane pada 9.11 pagi dan mendarat di Gold Coast pada 9.35 pagi.

Sekali lagi, persinggahan singkat di Gold Coast itu hanya mengambil masa selama dua jam dan 47 minit.

Pesawat itu kemudian terbang ke Gold Coast pada pukul 12.22 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 2.47 petang. Pesawat itu kekal berada di sana setakat ini.

Kebetulan sekali lagi, Norashman kemudian mula memuat naik gambar dia di Perth pada Instagramnya.

Pada 28 Disember, Norashman menyiarkan gambar dirinya di dalam bilik sedang bermain gitar elektrik. Posting itu ditandakan sebagai "#Perth".

Keesokan harinya, dia menyiarkan gambar berbasikal dengan rakan-rakan di Perth.

Kemudian pada 30 Disember, Norashman menyiarkan gambarnya bermain golf dengan kapsyen "Cuba untuk tamatkan 2016 dengan bergaya" bersama tag "#perth" dan "#meadowsprings".

Beliau merujuk kepada Meadow Springs Gold & Country Club di Mandurah, yang mengambil masa sejam jika memandu dari Perth.

Norashman turut memuat gambar beliau kembali berbasikal bersama Najib.

Semua data penerbangan adalah berdasarkan kepada laman pengesanan penerbangan Flight Aware.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS