Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Main golf, simpan perempuan antara ciri perasuah
Diterbitkan:  Jan 3, 2017 1:30 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Menyimpan perempuan antara ciri-ciri seseorang pegawai kerajaan itu terlibat dengan rasuah, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Apa antara ciri-ciri orang yang melakukan rasuah?

"Hidup mewah, main golf, ada teman wanita, perempuan simpanan dan sebagainya,” kata Datuk Azam Baki dalam wawancara di radio Internet suruhanjaya itu MACC.fm.

Ahad lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM,Datuk Dzulkifli Ahmad turut membangkitkan kecenderungan penjawat awam, khususnya pengurusan tertinggi, bermain golf di luar negara.

Tanpa menyebut nama, Dzulkifli menambah, selain bermain golf, perbelanjaan penjawat awam terbabit termasuk untuk membeli-belah turut dibiayai pihak tertentu.

Azam berkata, walaupun mungkin ada yang tidak setuju dengan mereka, banyak makluman SPRM mendapati terdapat pegawai tinggi kerajaan bermain golf di luar negara.

“Yang turut serta mereka main golf tak salah. Saya pun main golf.... Di luar negara itu permainan rakyat.

“Tetapi setakat ini di Malaysia, banyak melibatkan orang-orang kenamaan, pegawai kerajaan ada kelas tertinggi dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, pihak yang terlibat sama termasuklah golongan seperti kontraktor dan pembekal – dua pihak yang sering dikaitkan dengan kontrak kerajaan.

“Kalau dia pergi seorang tak apa, kadang satu pejabat pergi.

“Ini bukan saja pegawai pusat tapi juga pegawai negeri-negeri yang bertugas pejabat daerah, pejabat tanah, bertugas sebagai pegawai-pegawai majlis daerah dan sebagainya,” katanya.

Azam berharap kegiatan itu diberhentikan kerana ia menjejaskan imej perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, berdasarkan perkara itu, SPRM akan meneliti punca pendapatan penjawat awam yang hidup mewah.

“Kalau dia pegawai kerajaan, dia kena jelaskan mana punca wang dia dapat.

“Kalau boleh pergi keluar negara satu tahun tiga, empat kali (penerbangan) kelas perniagaan satu keluarga, kelas pertama dan sebagainya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS