Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fomca jangka kos sara hidup 2017 terus naik
Diterbitkan:  Jan 1, 2017 2:17 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Tahun baru 2017 memulakan hari pertamanya dengan jangkaan kos sara hidup akan terus meningkat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd yusof Abdul Rahman menjangkakan perkara itu berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan.

Katanya, rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu supaya ia tidak memberi kesan yang besar dalam kehidupan seharian.

“Selain isu peningkatan harga barangan dan nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan.

“Apatah lagi, sebagaimana laporan persatuan majikan, mereka turut menjangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan. Jadi rakyat perlu bersedia,” Mohd Yusof seperti dilapor Sinar Harian.

Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing naik sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

Ini menjadikan harga petrol RON95 berharga RM2.10 seliter dan diesel RM2.05 seliter.

Bagi petrol RON97, harga runcit akan naik sebanyak 15 sen kepada RM2.40.

Kerajaan menentukan harga bahan api melalui sistem apungan terurus.

Ia mengambil kira beberapa faktor, termasuk harga global minyak mentah dan kekuatan mata wang negara pada bulan sebelumnya.

Mohd Yusof berkata, bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kerajaan diharapkan dapat menangguhkan kenaikan harga barangan mahupun tarif perkhidmatan.

“Biasanya apa yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup adalah dari segi peningkatan harga, tidak kiralah barangan atau perkhidmatan.

“Pada 2016, keadaan ekonomi berada dalam keadaan yang meleset, jadi kita harap kerajaan dapat mencari jalan menyelesaikan isu-isu yang sedang berlaku sekarang seperti nilai mata wang negara yang masih rendah.

“Jika masalah ini dapat diatasi ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Yusof turut menasihatkan rakyat di negara ini supaya menguruskan kewangan mereka dengan cara berhemah.

“Rakyat perlu berbelanja secara bersederhana dengan hanya membeli barangan keperluan tertentu sahaja dan selebihnya disimpan kerana kita tidak dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS