Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rafizi: Kos MRT1 dua kali lebih mahal berbanding projek lain

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa projek MRT1 menelan perbelanjaan lebih dua kali ganda berbanding projek yang sama di negara-negara maju seperti Sepanyol dan Korea Selatan.

Rafizi berkata projek MRT bawah tanah antara bandar Barcelona Sants-La Sagrera sejauh 5.8 km yang siap pada 2011 menelan belanja AS$39 juta bagi setiap km manakala projek MRT Seoul Line 9 sejauh 27 km bernilai AS$43 juta setiap km.

Sebagai perbandingan, katanya, berdasarkan harga RM21 bilion, projek MRT1 sepanjang 51km itu akan menelan kos AS103 juta bagi setiap km, walaupun pada kadar pertukaran sebanyak RM4 berbanding satu dolar.

“Pada harga AS$103 juta setiap km, kos MRT1 yang telah disiapkan adalah 2.5 kali ganda lebih mahal dari projek di Barcelona dan Seoul,” kata Rafizi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sedangkan, menurut pemimpin PKR itu, kedua-dua projek tersebut adalah bawah tanah sepenuhnya dan MRT1 dari Sg Buloh ke Kajang hanya mempunyai sembilan stesen di bawah tanah.

Memandangkan demikian, Rafizi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan mengapa kos projek MRT1 begitu tinggi.

Menurutnya, pada tahun 2010, apabila projek MRT1 diumumkan, kerajaan pastinya telah mengambil kira kos projek yang sama di seluruh dunia.

Mengulas mengenai kenyataan pemilik MRT1, MRT Corp yang berkata bahawa kos RM40 bilion yang diumumkan oleh Najib ketika itu tidak lagi relevan, Rafizi tidak bersetuju.

"Angka RM40 bilion itu masih relevan kerana semestinya ia dibuat selepas membandingkannya dengan projek-projek lain," kata Rafizi.

Menurut MRT Corp, bahawa jumlah RM40 bilion tidak termasuk kereta api elektrik, sistem berkaitan dan pengambilan tanah.

Pada sidang medianya itu, Rafizi juga mengingatkan Najib bahawa cabaran supaya mendakwanya di mahkamah dalam masa tujuh hari jika hujahnya mengenai projek MRT1 adalah adalah tidak benar sudah berlalu.

“Hari ini genap seminggu masa yang saya berikan kepada Najib untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya (melalui saman fitnah) sekiranya betul dakwaan saya bahawa kos keseluruhan MRT bagi 150 km melebihi RM100 bilion,” katanya.

Najib, semasa pelancaran fasa pertama MRT antara Sungai Buloh dan Semantan bulan ini, berkata, projek MRT menelan belanja RM21 bilion, berbanding dengan kos yang disasarkan sebanyak RM23 bilion pada peringkat awal.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS