Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambil BR1M itu rasuah, salah di sisi undang-undang - Mahathir
Diterbitkan:  Dec 25, 2016 11:03 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.

“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tidak menolak kemungkinan pemberian BR1M dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,200 kerana percaya ‘umpan’ yang ditaburkan kepada rakyat berkesan.

“Pernah seorang penduduk kampung, apabila ditanya kenapa tidak menyokong BERSATU dan saya, dia jawab BERSATU tak bagi duit, Najib bagi duit.

“Inilah kesalahan kita, kita masih terima sedangkan tindakan itu akan merosakkan negara,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mahathir turut berkata dengan pemberian BR1M, Najib kelihatan sangat yakin bantuan itu dapat meraih undi rakyat untuk terus menyokong BN.

“Najib (mungkin) percaya, “cash is king”, bagi duit cukup (dan) rakyat akan sokong dia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Tun Mahathir yang juga perdana menteri keempat itu berkata umpan BR1M itu mungkin dilihat sebagai usaha meringankan beban kewangan namun rakyat tetap menderita dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.

“Ketika ini banyak sektor berdepan kekangan perbelanjaan sehingga memberi tekanan kepada rakyat.

“Sekarang kalau ke hospital, ubat pun kena beli sendiri. Banyak lagi perbelanjaan yang tidak mencukupi, tetapi BR1M yang diberikan,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS