Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Romania bakal dapat PM Muslimah pertama
Diterbitkan:  Dec 22, 2016 2:26 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Sevil Shhaideh - seorang wanita beragama Islam - bakal mencatat sejarah tersendiri di sebuah negara bekas komunis apabila disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan perdana menteri.

Pengerusi Parti Demokratik Sosial, Liviu Dragnea, mencalonkan mama Sevil untuk jawatan perdana menteri selepas parti itu memenangi pilihan raya parlimen pada 11 Disember lalu.

Pengumuman Dragnea itu dianggap mengejutkan kerana, selain namanya kurang dikenali, komuniti Muslim di Romania adalah minoriti.

Sevil, tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan walaupun menganggotai parti pimpinan Dragnea.

Berusia 52 tahun Sevil pernah berkhidmat sebagai menteri pembangunan wilayah selama enam bulan pada 2015 di bawah pentadbiran Victor Ponta.

Ketika ini jawatan perdana menteri dipegang oleh Dragnea sehingga dia mencalonkan nama wanita memiliki kelulusan sains ekonomi itu kepada Presiden Klaus Iohannis semalam.

Media melaporkan jawatan terkini Sevil ialah pegawai kanan di Kementerian Pembangunan Wilayah Romania.

Mengikut amalan di negara itu presiden biasanya akan berbincang dengan pemimpin politik sebelum mereka menamakan sesiapa sebagai perdana menteri.

Gagal menang majoriti

Walaupun begitu, pelantikan berkenaan bergantung kepada kelulusan parlimen.

Untuk makluman, Dragnea tidak layak dilantik ke jawatan perdana menteri selepas disabitkan kesalahan dalam pilihan raya. Dragnea menganggap sabitan ke atasnya sebagai "tidak adil" serta "bercanggah daripada perlembagaan".

Walaupun parlimen nanti meluluskan pelantikan Sevil, dia dipercayai akan tetap dibayangi pengaruh Dragnea sebagai ketua tidak rasmi.

"Jika dilantik Sevil akan menjadi perdana menteri tetapi tanggungjawab politik akan tetap kekal pada saya," katanya sambil memuji kemampuan serta pengetahuan wanita itu dalam bidang pentadbiran.

Dragnea juga memuji Sevil sebagai seorang ahli politik yang rajin serta setia.

Parti Demokratik Sosial Romania memenangi pilihan raya pada 11 Disember lalu tetapi tidak gagal menguasai parlimen negara berkenaan.

Untuk berkuasa dan memerintah mereka terpaksa bergantung kepada sokongan parti kecil di negara itu.

Sevil lahir Constanta, Romania, hasil perkahwinan pasangan wanita Crimea dan lelaki Turki. Ibunya ialah Muezel Cambek, manakala bapanya bernama Saedin Cambek.

Berdasarkan bancian pada 2011, 81 peratus daripada 21 juta penduduk Romania beragama Kristian Ortodoks, 4.8 peratus Protestan dan 4.3 peratus Katolik manakala 0.8 peratus adalah Katolik Greece.

Penduduk beragama Islam - kebanyakannya berbangsa Turki atau Tatar - seramai 64,330 orang dan 3,519 adalah Yahudi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS