ULASAN l Di sebalik pelancaran rangkaian Transit Aliran Massa (MRT), statistik yang cuba merakyat bahawa ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik, pemberian BR1M dan sebagainya, masa depan peneroka Felda yang bergantung pada prestasi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) nampaknya terus malap.
Sejak pelancaran FGV pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham syarikat itu terus merosot ke tahap yang menyayat hati iaitu RM1.68 sesaham pada Jumaat lepas.
Hakikatnya, saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham yang mempunyai prestasi terburuk dalam sektor pertanian.
Kita tentu masih ingat sewaktu FGV dilancarkan, Datuk Seri Najib Razak berkata penyenaraian syarikat itu merupakan yang terbesar di Asia pada tahun berkenaan, dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan kedua terbesar di dunia selepas Facebook.
Masalah FGV tidak lain tidak bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah.
Bagi peneroka biasa Felda, amat susah untuk mereka memahami bagaimana boleh berlakunya penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi - sebuah anak syarikat 50 peratus sahamnya dimiliki oleh FGV - di Turki, yang mengalami kerugian saham luar biasa iaitu sebanyak RM57 juta.
Penyelewengan tersebut itu menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun lalu ke RM94.86 juta tahun ini.
Nasib peneroka kian malap
Ketika perkara itu didedahkan, dilaporkan juga bahawa jumlah kerugian saham luar biasa itu adalah tertakluk kepada hasil audit forensik.
Apakah perkembangan audit forensik setakat ini?
Apakah ada pihak atasan FGV dan Felda yang akan bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini?
Bukan itu sahaja, Jabatan Audit Negara juga mendedahkan sejumlah 64 kontrak untuk perolehan light detection and ranging (LiDAR) bernilai RM148.42 juta telah ditandatangani tanpa kebenaran sah.
Selain itu, projek jalur lebar serta tiga projek lain juga dilaporkan mengalami kerugian kerana kelemahan pelaksanaan dan pemantauan.
Prestasi Felda selepas Tan Sri Isa Samad menjadi presidennya amat tidak meyakinkan peneroka.
Felda bukan sahaja berdepan dengan penyelewengan di bawah Isa, malah ia juga berdepan dengan pengurangan hasil akibat profil usia pokok sawit yang tua, kegagalan merancang penanaman semula yang berkesan dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak-anak syarikat.
Walaupun Isa berkata isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara siri dua sebelum ini telahpun diambil tindakan, namun hakikatnya para peneroka tidak mengetahui bilakah FGV akan kembali membawa keuntungan kepada mereka.
Bagi PAS, sebagai pengerusi Felda Isa perlu memikul tanggungjawab atas kerugian berkenaan dan bukan hanya mengambil tindakan ke atas individu-individu yang terlibat.
Dengan suasana ekonomi yang semakin sukar, FGV berdepan masa mencabar di 2017. Nasib peneroka Felda semakin malap jika tiada sebarang penambahbaikan yang konkrit dilakukan untuk mengubah nasib FGV.
Dengan melihat bertambahnya projek perumahan generasi kedua Felda terbengkalai, semakin ramai peneroka tertanya-tanya akan kesihatan kewangan Felda – apakah ia seperti nilai saham FGV hari ini?
Nasib peneroka dan prestasi FGV bakal menjadi satu isu penentu nasib politik Umno pada pilihan raya umum ke-14 ini.
DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN ialah timbalan presiden PAS