Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hutang tak salah kalau boleh bayar, Johari jawab Daim
Diterbitkan:  Dec 19, 2016 10:47 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, berhutang untuk menyediakan harta benda yang boleh menjana kepantasan perkembangan ekonomi tidak jadi masalah.

"Isu dia ialah, kalau kita nak berhutang perkara ini kena tanya, hutang ini untuk apa? Sebab bila kita buat hutang, kita mesti berkebolehan membayar, kalau kita tak boleh membayar, itu ada masalah.

"Jadi, sebab itu saya ingat dari segi hutang ini tidak ada masalah, cuma kita nak tengok setakat mana kita boleh berhutang dan boleh bayar," katanya dalam mengulas luahan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, memetik laporan Sinar Harian.

Semalam, Daim meluahkan pendapat beliau berkaitan krisis ekonomi negara dan penyelesaiannya dengan menyebut cara kerajaan mengawal ekonomi negara amat cetek, malah ekonomi negara dijana oleh hutang.

Mengulas lanjut, Johari yang juga ahli Parlimen Titiwangsa menyifatkan pendapat Daim itu sebagai kritikan positif berkata, pengurusan hutang adalah aspek penting yang perlu diberi penekanan.

"Saya mengambil maklum kritikan-kritikan yang diberi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, kita kena lihat benda ini secara lebih besar, sebab kita pun tak nak negara menjadi seperti Ireland, Greece, kita akan uruskan langkah-langkah sewajarnya berkaitan perkara ini.

"Tapi apa yang saya nak tekankan ialah, kalau hutang yang kita buat ini, untuk membangunkan prasarana negara sekolah, universiti, jalan raya, hospital, kemudian, kerajaan bangunkan pengangkutan awam seperti MRT, dan sebaginya, itu adalah pelaburan untuk generasi akan datang. Kita tak boleh menjadi negara maju kalau pengangkutan awam tak maju.

"Saya tak mahu komen secara mendalam apa disuarakan dia (Tun Daim), saya rasa kita tak boleh straight away bagi pin point, orang itu bagus atau tak bagus, tetapi sebenarnya kita harus melihat semua faktor secara keseluruhan," tambah beliau.

Jelas Johari lagi, krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini tidak sama, berbanding situasi yang dialami 20 atau 30 tahun dahulu.

"Saya percaya dengan kepakaran yang ada dalam negara kita, lebih-lebih lagi peranan yang dijalankan Gabenor Bank Negara, di samping sokongan daripada penjawat awam yang lain.

"Krisis ketika ini begitu rumit jika ingin dibandingkan dengan apa yang berlaku pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS