Ketiga-tiga parti di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara rasmi membentuk pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Ketiga-tiga parti di bawah HARAPAN- PKR, DAP dan AMANAH bersetuju mewujudkan gabungan parti-parti pembangkang dengan BERSATU sebelum pilihan raya umum akan datang dengan tujuan membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Empat parti itu hari ini menandatangani tujuh perkara dalam perjanjian bersama kerangka kerjasama berkenaan.
Mereka juga setuju berbincang dengan parti-parti yang masih belum menandatangani perjanjian tersebut bagi memastikan hanya satu calon mewakili pembangkang bagi menghadapi BN.
PKR diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala AMANAH diwakili presiden parti Mohamad Sabu.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani perjanjian itu bagi pihak parti masing-masing.
Keempat-empat parti itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi dan manifesto bersama.
Langkah awal
Mengenai mengapa BERSATU bukan sebahagian daripada HARAPAN, Wan Azizah berkata pemeteraian perjanjian itu hari ini merupakan "langkah awal kepada segala-galanya".
"Kita sudah bekerja bersama-sama, gabungan itu hanyalah formaliti .... Hari ini, kita mempunyai pendatang baru. Kita ada BERSATU," katanya.
Begitu juga, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sebuah gabungan memerlukan parti-parti mengambil satu langkah pada satu-satu masa.
"Ini adalah pakatan pilihan raya pertama (antara empat parti) dan kita akan lihat bagaimana ia berfungsi.
"Perkara boleh berubah, kita perlu fleksibel," katanya.
Bekas perdana menteri dan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat itu.
Sementara itu, tujuh perjanjian yang ditandatangani hari ini, dirumuskan seperti berikut:
1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya dalam mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan, institusi raja berpelembagaan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.
2. Memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik.
3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili HARAPAN - BERSATU dalam pilihan raya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui rundingan.
4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi melawan Barisan Nasional.
5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum PRU ke-14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
6. Mewujudkan jawatankuasa teknikal bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya, manifesto dan logo bersama dan merangka gerak kerja PRU ke-14.
7. Parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi rundingan bersama.