Seorang pemain bola keranjang kebangsaan melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di Lapangan Terbang Hong Kong baru-baru ini.
Kejadian itu dirakam dan dimuat naik oleh Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Lua Choon Hann.
"Bangga dengan kamu, Mohd Shadzwan Kamalrulzaman. Selamatkan satu nyawa di Lapangan Terbang Hong Kong," menurut kapsyen di video berkenaan.
Dalam video itu, seorang lelaki dilihat terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai dan seorang lelaki yang kelihatan seperti kakitangan lapangan terbang itu memegang mulutnya.
Shadzwan yang juga seorang doktor dilihat menekan dada lelaki itu, manakala seorang wanita yang berdiri berdekatannya memintanya supaya bertindak lebih pantas.
Lelaki itu dilihat kembali pulih dalam rakaman kurang daripada satu minit itu.
Pasukan bola keranjang Malaysia berada di Hong Kong untuk Kejohanan Jemputan Bola Keranjang Antarabangsa Piala Super Kung Sheong ke-21 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Disember.
Mohd Shazwan berkata dia bergegas untuk membantu ketika mendengar seorang wanita menjerit meminta tolong.
"Saya melihat bibirnya sudah bertukar biru dan mulutnya berbuih," katanya.
Beliau berkata lelaki itu mula bertindak balas selepas CPR dilakukan dan sedar semula selepas bantuan perubatan tiba.
Ketua jurulatih pasukan bola keranjang kebangsaan, Goh Cheng Huat berkata mereka sedang berjalan keluar dari lapangan terbang apabila seseorang meminta tolong.
Salah seorang pemain mereka segera mendapatkan Shadzwan untuk memberi bantuan, katanya.
"Lelaki itu terselamat tetapi tanpa tindakan pantas Shadzwan, sesuatu yang malang mungkin berlaku," katanya.