Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Pembangkang cuba rosakkan hubungan saya dan Zahid
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 11:56 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa pembangkang cuba merosakkan hubungan rapat beliau dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perkara itu disebabkan pembangkang cemburu dengan solidariti ditunjukkan Umno pada perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

"Tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan timbalan perdana menteri

"Mungkin pembangkang tersalah anggap perwatakan timbalan perdana menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti Umno yang didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan parti atau nasional," katanya dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Najib, pembangkang mencuba pelbagai cara untuk memecahbelahkan hubungan tersebut.

"Tetapi mereka tidak kenal Umno dan kesetiaan anggotanya – mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

"Pembangkang kini begitu terdesak dan di dalam kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjara pemimpin mereka sendiri," katanya sambil menggesa anggota Umno berwaspada terhadap 'taktik kotor' pembangkang.

Sejak beberapa hari lalu, sepucuk surat yang dikatakan ditandatangani Zahid tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Surat berkenaan dikatakan menuntut Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan turut menamakan barisan kabinet bayangan Zahid.

Susulan itu anggota Majlis Tertinggi (AMT) Umno, Tan Sri Noh Omar berkata, penyebaran viral itu tidak ubah seperti 'tindakan pelajar sekolah'.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini Zahid menyatakan ikrar taat setianya kepada Najib serta meminta hubungan beliau dengan seorang lagi naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dilaga-lagakan.

Najib dalam ucapan penggulungannya menyatakan tidak pernah meragui kesetiaan Zahid, malah tidak risau sama sekali jika naib presiden Umno itu 'berdiri' di belakangnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS