PAS hari ini menegaskan bahawa tidak akan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP menjelang pilihan raya akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, justeru, PAS tidak memberikan sebarang kerusi buat AMANAH dan DAP setelah kecewa dengan tindak-tanduk kedua-dua parti itu, memetik laporan Sinar Harian Online.
"AMANAH tidak ada kerusi, macam mana nak bekerja dengan orang yang ada kerusi?
"Saya rasa mereka hanya nak bekerjasama kerana mereka mahukan kerusi. PAS sebelum ini sudah memberitahu, yang kami akan pertahankan kerusi yang ada," ujar beliau dalam sidang media, hari ini.
AMANAH terdahulu menyatakan kesediaan untuk membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk PAS sekiranya mahu bekerjasama menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub mengumumkan kesediaan itu ketika ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum bantahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke Istana Negara pada bulan Mac yang lalu.
Menurut beliau, PAS memang bermuafakat bekerjasama dengan rakan-rakan parti politik setiap kali pilihan raya.
"AMANAH keluar bawa lari dengan kerusi sekali. Dah bawa lari kerusi PAS, AMANAH apa macam tu?
"Yang penting sebenarnya apakah nilai tambah kepada parti yang baharu ditubuhkan? Kalau tarik ahli Umno maka adalah nilai tambah.
"Kalau AMANAH (pembangkang) tarik ahli PAS (pembangkang) maka tidak ada nilai tambahnya," bidas beliau.