Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berita gembira untuk penghulu di seluruh negara yang belum mengerjakan haji.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan - melalui Yayasan 1MDB - akan menaja ketua-ketua kampung menunaikan rukun kelima Islam di Makkah.

Katanya penghulu terpilih juga akan diberi sumbangan berbentuk wang tunai untuk perbelanjaan mereka di Tanah Suci.

"Saya nak umumkan, penghulu yang belum naik haji saya nak tawarkan beberapa tempat melalui urusetia program haji 1MDB.

"Kita akan biaya sepenuhnya mereka menunaikan haji dan dapat lagi wang tunai sebagai sumbangan," kata Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib berucap di majlis ucaptama dan perasmian penutup Seminar Jati Diri dan Memperkasakan Institusi Penghulu di bangunan Ibu Pejabat Umno itu.

Untuk makluman, pengumuman itu bukanlah yang pertama untuk Yayasan 1MDB menghantar orang terpilih mengerjakan haji.

Tengok dalam almari

Pada Februari lalu misalnya Najib yang juga menteri kewangan pertama mengumumkan 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak dipilih untuk mengerjakan haji.

Mengumumkan perkara itu semasa melawat Masjid Jamek Saratok perdana menteri berkata mereka yang dipilih terdiri daripada 75 imam dan 75 pengerusi JKKK.

Program khas untuk menunaikan haji itu dimulakan Yayasan 1MDB pada 2011 dengan 111 jemaah dari seluruh negara dipilih menyertainya.

Jumlah itu ditingkatkan kepada 400 orang pada tahun berikutnya, diikuti 800 orang pada 2013, 1,000 (2014) dan 1,200 (2015).

Bagaimanapun langkah itu mengundang kritikan kerana dianggap sebagai langkah 1MDB memulihkan imejnya yang dikecam hebat oleh pelbagai pihak ekoran skandal yang dikaitkan dengannya.

Najib turut didakwa mempunyai kaitan secara langsung dengan syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.

Sementara itu, Najib juga memberi jaminan akan mempertimbangkan segala keperluan tambahan para penghulu sepanjang perkhidmatan mereka - seperti kenaikan elaun - mengikut kemampuan kerajaan.

"Pemintaan lain seperti kenaikan elaun - itu saya kena lihat dulu. Kita kena tengok ada duit tak dalam
almari," kata Najib secara berseloroh sambil disambut ketawa hadirin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS