ULASAN Saya merujuk entri terbaharu Tun Dr Mahathir dalam blog beliau, chedet.cc bertarikh 6 Disember 2016.
Saya kekal konsisten dengan pendirian tegas dan kenyataan saya sebelum ini mengenai dakwaan Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di Johor yang kononnya akan diberi kad pengenalan (IC) untuk menjadi pengundi sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat.
Untuk rekod, dakwaan Mahathir tersebut dibuat dalam satu siri ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
Dakwaan melulu Mahathir tersebut bukan sahaja tidak logik dan berasas, malah sangat tersasar dari bersandarkan sebarang fakta dan mana-mana sumber yang sahih.
Pemilikan hartanah oleh kepentingan asing
Bagi tempoh 2003 sehingga 30 November 2016, jumlah kelulusan permohonan kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan asing dalam rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor adalah sebanyak 29,218 unit. Angka tersebut adalah bagi pemilikan hartanah jenis bertanah (landed property) dan strata.
Jumlah pemilikan asing itu hanyalah 2.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor, iaitu sebanyak 1,452,931 unit.
Sekiranya kita mengambil kira empat orang bagi setiap unit hartanah, berdasarkan anggaran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit-unit hartanah yang dimiliki oleh orang asing itu.
Dan kesemua angka ini sangat jauh dan ternyata meleset daripada angka 700,000 seperti didakwa Mahathir.
Malah dalam entri terbaharunya, Mahathir menganggarkan Johor Bahru akan didiami oleh 1.5 juta warganegara asing. Jelas Mahathir tidak konsisten dengan angka yang digunakannya.
Percanggahan angka tersebut dengan sendirinya menjawab bahawa dakwaan Mahathir ternyata sangat tidak berasas dan dilakukan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.
Pemberian kerakyatan Malaysia
Mahathir yang pernah menjadi seorang perdana menteri sudah semestinya arif mengenai proses keluhuran undang-undang serta prosedur ketat berkaitan permohonan seseorang individu untuk mendapat kerakyatan sesebuah negara.
Proses memohon dan mendapatkan status warganegara Malaysia oleh orang asing adalah proses yang sukar, ketat dan memerlukan pertimbangan teliti kerajaan dalam pelbagai aspek.
Malaysia adalah negara yang sangat tegas dan sukar untuk memberikan kerakyatan kepada mana-mana warga asing. Malah ratusan ribu lagi mereka yang telah dilahirkan di Malaysia dan telah tinggal di negara ini begitu lama tetapi masih belum diberikan kerakyatan.
Kita juga tidak mempunyai dasar yang membolehkan sesiapa yang memiliki hartanah di dalam negara, untuk layak memohon kerakyatan Malaysia. Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.
Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat bahawa membuka peluang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama sekali berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka.
Jika sekalipun beliau mempunyai bukti sahih daripada sumber yang jelas bahawa terdapat sehingga 700,000 warga China akan diberikan kerakyatan Malaysia dalam masa terdekat, beliau boleh sahaja merujuk perkara tersebut kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini kerana Muhyiddin masih lagi seorang anggota parlimen dan boleh membawa usul tergempar mengenai perkara itu di parlimen.
Laporan negatif media Barat
Saya juga amat kesal dengan sanjungan tinggi dan sikap pilih bulu Mahathir terhadap segala laporan media barat.
Apabila Bloomberg melaporkan sesuatu yang negatif mengenai negara, Mahathir memilih untuk merujuk dan mempercayai laporan berkenaan tanpa usul periksa.
Sebagai seorang negarawan bagi Malaysia yang moden, beliau pasti ingat betapa agresif dan konsistennya media barat dalam memburuk dan memperkecil-kecilkan segala inisiatif pembangunan yang telah beliau perkenalkan.
Apakah Mahathir lupa tentang serangan konsisten dan sistematik media barat terhadap pembangunan besar-besaran Putrajaya dan Cyberjaya serta pembinaan Menara Berkembar Petronas Twin Tower? Semuanya digambarkan sebagai pembaziran wang rakyat.
Begitu juga sewaktu Malaysia mengambil keputusan untuk tidak menerima preskripsi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan sewaktu Mahathir menyingkirkan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, amatlah wajar untuk Mahathir, sebagai seorang yang sangat patriotik kepada tanah air, untuk mengambil pendirian dengan meminta penjelasan objektif daripada kerajaan Johor. Benarkah ada 60 projek yang boleh diduduki seramai 1.5 juta warganegara asing?
Malah, sekalipun terdapat sehingga 60 projek pembangunan hartanah di Johor Bahru seperti yang didakwa beliau, mana mungkin dapat diterima oleh akal yang ia akan dihuni oleh 1.5 juta warganegara asing. Jumlah kependudukan Johor Bahru sendiri pun hanyalah dalam lingkungan satu juta sahaja.
Dan jika mengikut perkiraan Mahathir itu, ia bermakna setiap satu daripada 60 projek hartanah tersebut harus memuatkan sekurang-kurangnya 25,000 penghuni. Jumlah tersebut amat tidak masuk akal. Ini kerana, setiap projek hartanah yang ada lazimnya memuatkan hanya setakat 2,000 hingga 2,500 penghuni sahaja.
Hakikat yang perlu diterima oleh Mahathir adalah media asing akan terus ragu dengan apa jua kemajuan yang terlihat di Johor dan Malaysia. Bagi mereka, Malaysia yang berjaya adalah di luar kelaziman.
Meneroka peluang pertumbuhan baharu
Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, Johor perlu terus meneroka serta membongkar peluang pertumbuhan baharu dalam pelbagai sektor, termasuklah sektor hartanah dan perumahan.
Ini bagi memastikan pertumbuhan pesat itu dapat disokong dengan pelbagai kemudahan, sekali gus memastikannya berlaku dengan terancang dan mapan.
Malah inilah juga yang telah dilakukan oleh Mahathir sewaktu memimpin negara suatu ketika dahulu. Mahathir melawat ke seluruh dunia, meyakinkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang dan projek.
Jadi apa yang kami lakukan di Johor adalah meneruskan formula pertumbuhan yang ditunjukkan oleh Mahathir sendiri.
Pada masa yang sama, dasar kemasukan pelaburan terus asing kita tidak pernah bersifat terpilih. Tidak ada ada negara yang menjadi keutamaan. Mana-mana pelaburan yang boleh menyumbang kepada pembangunan Malaysia amat dialu-alukan dan ini termasuk dari China. Saya ingin jelaskan mengapa pelaburan dari China sangat terlihat di Johor.
Pertama ialah kerana China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Malah dalam sedikit masa lagi, ia akan menjadi kuasa ekonomi utama global.
Justeru, adalah munasabah melihat pelaburan China di Malaysia lebih terserlah. Pergilah ke mana jua, termasuk di Afrika dan Amerika Latin, pelaburan dari negara itulah yang telah menjadikan ekonomi benua-benua itu tumbuh dengan dinamik.
Kedua, China mempunyai kelas menengah seramai 250 juta orang. Ini adalah jumlah kelas menengah yang terbesar di dunia, malah hampir menyamai jumlah penduduk Amerika Syarikat.
Peningkatan secara mendadak semenjak 10 tahun lepas telah mewujudkan keinginan dan minat yang tinggi di kalangan rakyat negara Tembuk Besar itu untuk mempelbagaikan pelaburan mereka di luar negara.
Malah rakyatnya adalah pelabur dalam hartanah yang paling besar di Australia, Portugal, Paris, California, Dubai, Abu Dhabi, Singapura dan banyak lagi kota raya besar di dunia.
Ini adalah fenomena global dan adalah wajar untuk pelbagai usaha dilakukan, lebih-lebih oleh pihak swasta dalam menarik pelaburan dari China, khususnya ke Johor. Apatah lagi, Johor hanyalah bersebelahan dengan Singapura.
Adalah sangat tersasar untuk menyatakan hartanah di Johor hanya untuk pelabur dari China. Sedangkan semua pemaju yang beroperasi di Johor tidak menumpukan rakyat China semata-mata.
Strategi pemasaran mereka bersifat global termasuk termasuk menerusi pengiklanan stesen penyiaran paling berpengaruh dunia, CNN. Sasaran mereka pastinya turut mengambil kira potensi pelaburan dari pelbagai kewarganeraan termasuk Indonesia, India, Korea, Jepun dan Australia.
Pada saya, telahan Mahathir dalam isu ini, tidak ubah seperti kecaman tidak berasas yang sering dilakukan oleh DAP ke atas Johor. Semuanya kelihatan seakan-akan tidak senang untuk melihat kejayaan dan kemajuan yang sedang diusahakan oleh seluruh warga Johor.
Dasar ‘Malaysia My Second Home Program’
Malaysia juga memperkenalkan program Malaysia MySecond Home yang menggalakkan kedatangan warga asing untuk bercuti, bekerja atau menetap di sini.
Dasar itu turut menganjurkan pemilikan hartanah oleh warga asing mengikut kadar dan syarat-syarat ketat tertentu yang telah ditetap dan disemak dari semasa ke semasa.
Ia mahu menjadikan Malaysia lebih kosmopolitan dengan menawarkan kualiti kehidupan yang setanding dengan negara maju, tetapi dengan keunikan tersendiri.
Dasar tersebut diperkenalkan sejak era pentadbiran Mahathir sendiri dan kini diteruskan oleh pentadbiran semasa negara.
Apa yang berlaku di Johor adalah sebahagian dari realisasi dasar tersebut. Kita mahu menjadikan Johor Bahru destinasi kediaman dengan citra moden bagi masyarakat global.
Bukan destinasi untuk mendapat kewarganegaraan ataupun kelayakan untuk mengundi!
Lihat sahaja ratusan ribu pemilik hartanah di Abu Dhabi, Dubai, Doha, Singapura, Bangkok, Melbourne, Sydney. Mereka hadir dengan memberi nilai tambah kepada semua kota-kota besar tersebut.
Mereka menjadikan kota-kota itu maju dan berdaya saing, bukan sahaja melalui pelaburan, tetapi juga melalui kehadiran, pengetahuan, gaya hidup, keperluan pendidikan dan kesihatan mereka.
Johor Bahru mesti menjadi sebahagian dari cerita kejayaan global. Dan ia tidak akan sekali-kali digagalkan oleh rakus permainan politik Mahathir dan sekutunya.
Untuk Mahathir, berilah ruang untuk Johor menjayakan cita-citanya menjadikan selatan tanah air ini moden, sejahtera dan maju. Seperti suatu ketika dahulu, kami memberi ruang untuk Mahathir menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya.
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN menteri besar Johor.