Pemuda PAS Kelantan membuat sejumlah aduan polis terhadap peguam Siti Kasim kerana didakwa menjadi 'dalang utama' di sebalik kebangkitan Orang Asli menghalang aktiviti pembalakan di Gua Musang.
Ketua penerangannya Nazman Che Ibrahim memberitahu Malaysiakini dua laporan polis dibuat pagi semalam, manakala 13 lagi - bagi setiap kawasan di negeri itu - akan dibuat hari ini.
Menuru laporan itu, selepas membaca sejumlah status dimuat naik Siti di Facebook, Nazman berkata kandungannya bersifat "fitnah, bohong, menghina, menghasut dan mengancam" kerajaan Kelantan.
Ia juga didakwa mengecam kakitangan awam yang terlibat dalam pertikaian berkenaan.
"Saya juga nampak Siti Kasim secara konsisten cuba menghasut Orang Asli membenci dan menentang kerajaan pusat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Perhutanan, polis dan kerajaan negeri," katanya dalam laporan polis yang dibuat di Kota Bharu itu.
Justeru katanya sebagai anggota Pemuda PAS Kota Bharu, dia membuat aduan kepada polis supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan segera menahan serta menyiasat peguam terbabit.
Langkah itu kata Nazman bagi mengelak berlakunya ketegangan kaum menjadi lebh buruk dan membawa kepada kemungkinan berlaku pertumpahan darah.
Kenyataan itu merujuk kepada insiden yang dilaporkan berlaku di Sungai Rual di Jeli, Kelantan pada 1990-an.
Sementara itu Siti Kasim dalam reaksinya di Facebook terhadap laporan polis berkenaan berkata, pihak terbabit adalah "bodoh dan bangang" kerana tidak dapat menerima realiti bahawa Orang Asli mempunyai pendirian sendiri.
Siti Kasim turut mengancam untuk menyaman mereka kerana menuduhnya menjadi dalang menghasut Orang Asli membantah aktiviti pembalakan berkenaan.