Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mencadangkan supaya bekas pengarah dan wakil Goldman Sachs (Singapore) Pte (GS S'pore) Tim Leissner tidak dibenarkan terbabit dalam pengurusan pasaran modal di negara itu selama 10 tahun.
MAS mendakwa Leissner membuat kenyataan palsu mengenai jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low bagi pihak Goldman Sachs (Asia) LLC, tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
Leissner, kata MAS, bertanggungjawab penuh menguruskan hubungan dengan 1MDB apabila Goldman Sachs diminta oleh 1MDB untuk menerbitkan tiga bon pada 2012-2013.
"Leissner didapati memberi surat rujukan yang tidak sah kepada sebuah institusi kewangan yang berpangkalan di Luxembourg pada bulan Jun 2015, dengan menggunakan kepala surat Goldman Sachs (Asia).
"Surat itu menyatakan bahawa Goldman Sachs telah menjalankan usaha wajar ke atas Jho Low dan keluarganya, dan tidak mengesan sebarang kebimbangan mengenai pengubahan wang haram oleh Low atau keluarganya.
"Kenyataan ini adalah tidak benar dan dibuat oleh Leissner tanpa pengetahuan atau persetujuan Goldman Sachs '," kata MAS dalam satu kenyataan media.
MAS berkata notis untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap Leissner itu telah diserahkan.
Low dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz adalah antara empat individu yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan penyelwengan dana 1MDB.
Perdana menteri menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan telah dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Peguam Negara Malaysia.