Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan akan ambil alih RUU Hadi, kata Najib
Diterbitkan:  Dec 1, 2016 12:51 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak memaklumkan kerajaan persekutuan akan "mengambil alih" rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).

“Saya pinta, janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana, ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini..

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana rang undang-undang "diambil alih" oleh kerajaan.

Beliau yang juga presiden Umno berkata rakyat khususnya bukan beragama Islam tidak seharusnya bimbang kerana tidak akan tertakluk di bawah rang undang-undang berkenaan.

"Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme," katanya.

Menurut Najib, kerajaan indukan Umno telah membuat ketetapan bersejarah, dengan memberi laluan kepada RUU Persendirian yang dibawakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibacakan di Dewan Rakyat pada 24 Nov lalu.

RUU itu bertujuan membolehkan pindaan dibuat ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk memperkasakan mahkamah berkenaan.

Najib berkata usul persendirian itu kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahukan orang Melayu dan Islam bersatu serta melupakan sengketa dan perbezaan.

"Sesungguhnya, perpaduan ummah itu amat dekat di hati saya. Kalau kita boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak kita mulakannya sekarang di negara kita sendiri.

"Inilah kemuncak kepada kejayaan perjuangan yakni perpaduan ummah," katanya.

Najib berkata cukuplah sejarah mengajar bahawa umat Melayu Islam dan ummah telah berkali-kali lumpuh dan runtuh hanya kerana permusuhan dan pembelotan.

Justeru, katanya janganlah umat Melayu dan Islam diperkudakan pihak tertentu, yang boleh menyebabkan orang Melayu dan umat Islam hanya 'menang sorak kampung tergadai'.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

"Berkait ini, kerajaan pimpinan Umno akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS