Laluan pejalan kaki yang menghubungkan KL Eco City dan The Gardens berdekatan Apartmen Abdullah Hukum, di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur dilaporkan runtuh petang tadi.
Menurut sumber bomba, konkrit yang runtuh itu menyebabkan seorang mangsa terbunuh manakala beberapa lagi dikatakan kritikal.
Bernama pula memuat naik sebuah video yang memaparkan pekerja binaan berkumpul di sekitar apa yang kelihatan seperti sebuah trak polis.
Tidak kurang pekerja binaan yang kelihatan menangis.
“Beberapa pekerja pembinaan meratapi seorang rakan mereka yg terkorban dalam kejadian struktur bangunan runtuh di Jalan Bangsar itu,” lapor agensi itu di Twitter.
[Video] Beberapa pekerja pembinaan meratapi seorang rakan mereka yg terkorban dalam kejadian struktur bangunan runtuh di Jalan Bangsar itu pic.twitter.com/f8NSN4so0R
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 30, 2016
Sementara itu, Utusan Online yang memetik Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba II Samsol Maarif Saibani mengesahkan kematian itu.
“Lima mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kecederaan parah,” katanya.