Walau panas atau hujan
Kau tetap bersama kami
Di jalanan, bersuara
Rakyat Malaysia!
Bait-bait lagu yang sinonim dengan himpunan jalanan itu mengiringi kemunculan pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah di sudut Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka pada kira-kira jam 9.10 malam ini.
Hujan gerimis telah bertukar menjadi lebih lebat namun bagai menghayati lirik lagu tersebut, kira-kira 600 orang penyokong pengerusi BERSIH itu terus berada di tempat masing-masing.
Untuk mengurangkan kesan basah, mereka membuka payung atau menyarungkan baju hujan ke badan masing-masing.
Mereka mula berkumpul di situ kira-kira jam 8 malam selepas mendapat tahu Maria Chin dibebaskan polis daripada tahanan Sosma petang tadi.
Pengacara majlis yang juga Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Farhana Abdul Halim berkata, semakin lebat hujan, akan bertambah kuat semangat mereka untuk terus berada di situ.
"Kita sama-sama meraikan suasana romantis dalam hujan malam ini," katanya.
Sebelum itu Farhana memberitahu perhimpunan malam ini adalah majlis meraikan penyokong Maria Chin yang sabar hadir ke kawasan berkenaan setiap malam sejak aktivis itu ditahan polis pada 18 November lalu.
Sementara itu Maria Chin dalam ucapannya berkata dia sendiri tidak tahu apa akan berlaku ke atasnya selepas ini.
"Tetapi saya berharap apa saja yang berlaku pada saya, rakuat akan meneruskan perjuangan menghapusakan Sosma," katanya.
Terus desak pembaharuan pilihan raya
Sosma atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 diluluskan pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikritik hebat pelbagai pihak, terutama pembangkang.
Ia diluluskan di parlimen pada 17 April 2012 dan diwartakan pada 22 Jun tahun yang sama.
Akta itu boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.
Ketika dibahaskan kerajaan berjanji menggunakan peruntukan akta itu bagi menangani pengganas dan bukan kepada musuh politik pemerintah.
Maria Chin ditahan mengikut Sosma sehari sebelum BERSIH5 berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 November lalu.
Kata Maria Chin, walaupun ditahan BERSIH berjanji akan terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.
"Kita akan tunjukkan apakah kerajaan yang kita mahukan pada PRU14 nanti," katanya.
Pada masa sama Maria Chin turut meminta proses mendaftar pengundi dipergiatkan.
"Kita perlu daftarkan pengundi secepat mungkin atau jika tidak, kita tidak mampu membawa perubahan," katanya.
Sementara itu peguam Datuk S Ambiga pula berkata gerakan baru untuk digerakkan selepas ini adalah memperjuangkan pemansuhan Sosma.
"Kita mesti teruskan perjuangan kita. Kini kita mesti berjuang menentang Sosma," katanya.
Perhimpunan itu berakhir kira-kira jam 9.30 malam dengan Maria Chin dibawa beredar dari situ menaiki sebuah kereta dengan tangannya memegang sejambak bunga berwarna kuning.