Myanmar 5, Malaysia 0 - itulah keputusan sebenar walaupun keputusan perlawanan bola sepak antara Myanmar dan Malaysia di atas padang malam tadi adalah kalah 0-1.
Satu daripada lima gol itu sebenarnya adalah akibat jaringan sendiri!
Gol pertama: Ia adalah keputusan tidak bijak Kabinet Malaysia untuk meneruskan perlawanan dalam pertandingan yang tidak penting berbanding dengan pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya yang turut dikutuk keras oleh negara bukan Islam.
Gol kedua: Keputusan tidak bertanggungjawab untuk mendedahkan pemain skuad bola sepak Malaysia kepada bahaya untuk ke Yangon dalam suasana bandar raya tersebut digegarkan beberapa letupan bom baru baru ini. Ini adalah alasan yang cukup untuk menarik diri.
Gol ketiga: "Memaksa" pemain bolas sepak kita terus beraksi semasa mereka tertekan dengan pengetahuan rakyat Islam di Myanmar sedang di bunuh beramai-ramai oleh tentera kerajaan negara itu. Dan sehari sebelum beraksi menentagn Myanmar, satu demonstrasi besar diadakan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur.
Gol keempat: Sikap hipokrit (munafik) kerajaan Malaysia yang kononnya mengetuai gerakan Global Movements of Moderates - kononnya mendukung prinsip kesederhanaan - tetapi tidak bertindak mengikut cara sepatutnya terhadap keganasan ekstremis agama di Myanmar membunuh rakyat Islam mereka sendiri.
Gol kelima: Inilah yang merupakan gol jaringan sendiri! Ia berkait tindakan tidak membenarkan usul mengenai kekejaman ke atas etnik Rohingya dibawa anggota Parlimen Kuala Terengganu untuk dibahas di Dewan Rakyat.
Jika usul kekejaman dan pembunuhan orang Islam di Myanmar dibenarkan dibahas, semua anggota Parlimen boleh menyuarakan pendapat mereka mengenai isu "genocide" yang makin meruncing.
Ini boleh dijadikan asas kukuh untuk Malaysia menarik diri daripada perlawanan tersebut.
Masalah ini semuanya berpunca daripada sikap lemah kerajaan yang tiada polisi luar negara yang baik dan tegas.
Jika isu tuntutan kawasan kita di Laut China Selatan oleh China yang telah ditolak oleh tribunal antarabangsa pun kita membisu, jangan diharap hendak membela orang lain.
Negara sendiri pun tidak terbela.
RAJA BAHRIN SHAH anggota parlimen Kuala Terengganu merangkap pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara