Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada anggota parlimen dan ahli politik bukan Islam supaya tidak berkelakuan seperti Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok.

Presiden PAS itu mengulas penolakan beberapa ahli politik yang tidak bersetuju dengan pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah.

“Suka saya menjelaskan betapa perlunya perbahasaan usul ini di tangguh walaupun usul ini mengikut proses demokrasi mewakili ahli parlimen Islam sama ada PAS, Umno dan lain-lain.

“Usul ini berkait dengan agama Islam sahaja iaitu perkara agama Islam bawah bidang Duli Yang Maha Mulia, yang tidak sepatutnya diganggu oleh kalangan bukan Islam.

“Namun terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak mewakili masyarakat bukan Islam sepenuhnya, (ia) lebih untuk mendapat keuntungan politik daripada kepentingan awam.

“Saya beri peringatan pada mereka jangan berlagak seperti Ahok di Jakarta,” tegasnya.

Ahok didakwa menghina al-Quran selepas mempertikaikan penggunaan sepotong ayat dalam surah al-Maidah yang dijadikan alasan untuk menolak kepimpinan beliau.

Ayat itu berkaitan status bukan Islam sebagai pemimpin bagi orang Islam. Ahok akan mempertahankan kerusi gabenor Jakarta yang disandangkanya.

Selain berdepan pendakwaan di mahkamah, lautan manusia memenuhi Jakarta sebelum ini bagi menyatakan bantahan terhadap gabenor pertama berbangsa Cina di Indonesia itu.

Hadi (PAS-Marang) sebentar tadi membentangkan usulnya untuk meningkatkan hukuman Mahkamah Syarikah kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Penjelasan usul akan dibuat pada sesi akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS