Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan dibentangkan sama ada pada esok atau Khamis.

"Akan dibentangkan minggu ini, akan dibentangkan minggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas kepada anggota parlimen Islam berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara Parlimen, hari ini.

Turut serta memberikan taklimat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sesi parlimen tahun ini akan berakhir pada Khamis ini.

Pada hari pertama sidang parlimen Oktober lalu, usul persendirian yang dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada pada giliran nombor empat.

Dari giliran keempat, usul Hadi bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) itu, diturunkan ke tempat ketujuh dalam kertas aturan mesyuarat.

Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai apabila usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Selain itu, Zahid yang juga ketua whip BN berkata, beliau turut akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan (select committee) bagi memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta berkenaan.

"Oleh yang demikian, penjelasan kita bincang tadi antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk yang melibatkan ahli parlimen Islam dan bukan Islam dalam jawatankuasa itu.

"Ia untuk memperincikan jika terdapat unsur tak jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya sambil menegaskan pindaan akta tersebut hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja.

Menurut anggota parlimen Bagan Datoh itu lagi, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan kabinet.

"Saya akan bawa cadangan ini kepada perdana menteri untuk dibentangkan di mesyuarat jemaah menteri bagi mendapat persetujuan kabinet supaya perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan-cadangan yang disebut ahli parlimen dari pelbagai parti adalah pertama kali.

"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain...dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya lagi.

Sementara itu, seorang anggota parlimen PAS dari Pasir Puteh Datuk Dr Nik Maizan Nik Mohamad berkata, pembentang rang undang-undang persendirian itu akan diluluskan pada bacaan pertama pada minggu ini dan perbahasan akan dilakukan  pada sidang parlimen sesi tahun hadapan.

"Dalam taklimat tadi (diberitahu), usul akan dibentang Marang kemudian akan di lulus pada bacaan pertama dan kerajaan akan angkat untuk sesi debat pada sidang akan datang.

"Bacaan pertama pada minggu ini dan ia mendapat persetujuan oleh semua ahli parlimen (Islam yang hadir taklimat)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS