Cubaan mendapatkan reaksi daripada anggota parlimen Pasir Salak berhubung insiden perang mulut di Dewan Rakyat semalam bertukar menjadi sesi memarahi wartawan.
Ketika diajukan soalan mengenai kenyataannya mengenai Teresa Kok (DAP-Seputeh), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata wartawan yang bertanyakan soalan itu menyebelahi pembangkang.
"Saya tahu kamu adalah propembangkang," katanya di lobi parlimen hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan parlimen kecoh seketika selepas Tajuddin menggelar Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu demikian selepas berbahas dengan anggota parlimen pembangkang berkaitan BERSIH5 yang diadakan pada 19 November lalu.
Pertengkaran itu juga menyaksikan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad menggelar Tajuddin dengan panggilan "sial".
Menurut Tajuddin pembangkang "menghentam" semua orang termasuk perdana menteri dan isterinya menggunakan pelbagai bahasa yang buruk.
"Apa yang mereka tak kata tentang perdana menteri, Rosmah (Mansor) dan kami semua? Mengapa kamu semua diam?
"Mengapa kamu tak bertanya kepada mereka mereka (pembangkang)? Kamu tak bertanya sebab kamu pembangkang. Saya tahu kamu pembangkang," katanya kepada lebih 10 wartawan yang berada bersamanya.
Menurut Tajuddin wartawan sepatutnya bersikap adil dalam laporan dan bertanya kedua-dua pihak (BN dan pembangkang) berhubung isu itu.
Bagi dirinya Tajuddin berkata beliau hanya mempertahankan diri.
"Mengapa Khalid Samad cakap sial? Kamu tahu makna sial? Mengapa kamu tak ajar mereka bahawa perkataan itu salah, tak boleh guna," katanya.
Mengenai Kok, Tajuddin berkata beliau hanya menyebut nama keluarga anggota parlimen DAP berkenaan.
"Saya cuma kata Teresa Kok satu-satunya wanita dengan nama Kok. Apa salahnya? Itu nama keluarga beliau. Kamu nak saya kata macam mana?" katanya.
Berkaitan nasihat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulis supaya semua anggota parlimen berhati-hati berucap bagi mengelak pertengkaran seperti semalam, Tajuddin berkata wartawan perlu mengajar wakil pembangkang supaya bersopan santun.
"Minta pembangkang beradab bersopan, kamu berani?
"Kamu berani bertanya saya kerana kamu pembangkang. Kamu tak mengundi BN, kan? Kamu undi BN? Tak," katanya.