Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafika beliau meluluskan kontrak bernilai RM507.77 juta tanpa kelulusan kabinet seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (Siri 2) pada 2015.

Ditanya mengenai isu itu Dr Mahathir berkata, ia adalah suatu dakwaan.

"Mereka patut menunjukkan bukti," katanya sebelum meninggalkan wartawan di Dataran Merdeka malam tadi.

Dr Mahathir berada di situ untuk menyertai perhimpunan menunjukkan kebersamaan dengan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai Sosma.

Berdasarkan laporan audit yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, Dr Mahathir membuat keputusan memberikan kontrak konsesi 15 tahun kepada Malaysian Maritime and Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) bagi projek pengorekan sungai di seluruh negara.

Beliau ketika itu turut memegang jawatan menteri kewangan.

Keputusan itu dibuat ketika ada 15 bidaan untuk kontrak menjalankan kerja-kerja pengorekan di beberapa pelabuhan pada 2011.

Syarikat MMDC ditubuhkan pada Jun 2002.

"Semakan juga mendapati pada 10 Ogos 2002 kementerian kewangan memutuskan semua tender mengorek sebelum itu dibatalkan dan diserahkan kepada MMDC.

Bagaimanapun semakan oleh jabatan audit tidak menemui sebarang dokumen berkaitan perbincangan, perbincangan, penilaian atau kajian mengenai keputusan itu di peringkat kementerian pengangkutan," kata laporan berkenaan.

Kontrak itu ditandatangani di antara MMDC dan ketua setiausaha kementerian pengangkutan pada Oktober 2005.

Ketika itu Dr Mahathir sudah bersara dan Tun Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara itu turut menyatakan kerja-kerja dilakukan MMDC secara umumnya memuaskan walaupun ada ruang untuk diperbaiki.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS