Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap parti dapat meminda perlembagaannya bagi membolehkan jawatan pemangku timbalan presiden dimaktubkan dalam klausa tertentu.
Timbalan Perdana Menteri berkata rasional pindaan itu adalah untuk membolehkan penyelarasan tugas-tugas timbalan presiden dilakukan dengan lebih berkesan oleh pemangkunya.
"Bukan untuk kepentingan saya (kini menjalankan tugas timbalan presiden)...tapi mungkin pada masa akan akan datang, jawatan pemangku dimaktubkan dalam Perlembagaan.
"Saya tak akan ambil kesempatan, (sebaliknya) hanya berharap untuk memperbetulkan kelowongan (kekosongan) yang ada," katanya sewaktu berucap menutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Pada sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata usul itu hanya boleh dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) sekiranya diluluskan di peringkat mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti dan Majlis Tertinggi.
"Perkara ini telah terjadi tiga kali, dan kita cuba memperbetulkan perkara ini (melalui pindaan itu) supaya kekangan yang dihadapi pada masa kini, tidak akan berulang lagi," katanya.
Mengulas mengenai konvensyen yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu, Ahmad Zahid berkata ia membuktikan Umno mengambil kira semua pendapat dalam membahaskan usul, bukan sahaja dalam kalangan anggota parti malah pandangan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan intelektual.
"Berdasarkan pada itu, saya merasakan jurucakap-jurucakap yang akan bahaskan usul yang telah dipersetujukan bersama, dan juga usul-usul yang mungkin tidak dibahaskan, tetapi dicatat sebagai usul-usul untuk dikaji pihak kerajaan akan dapat diteliti sebaik-baiknya," kata beliau.
Beliau turut menegaskan jurucakap perwakilan, bebas untuk membahaskan isu-isu pada perhimpunan agung nanti.
"Kita memandu arah mereka supaya perkara termaktub dalam Perlembagaan dipatuhi...perkara sensitif terutama menyentuh agama, bangsa dan keturunan rakyat Malaysia lain tak disentuh.
"Kita mahu semangat Kemelayuan tidak menyebabkan kita ditafsirkan bahawa kita mengetepikan keperluan lain-lain bangsa, agama dan keturunan," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Umno sebagai parti yang menunjangi Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Persekutuan, mengambil kira kepentingan setiap bangsa dan agama dalam negara ini.
"Kita (Umno) tidak mahu dituduh rasis, kita juga tak mahu dituduh terlalu eksklusif dan hanya berada dalam kelompok sendiri.
"Sikap inklusif itu dapat dilihat sepanjang konvensyen sehari ini di mana Umno turut mengundang tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, memperlihatkan kesungguhan parti untuk mengambil kira pandangan bukan saja orang Melayu, tetapi juga seluruh kaum di negara ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata pendekatan tersebut pada hematnya berbeza dengan pendekatan yang menjadi amalan parti itu sebelum ini.
- Bernama